UMUM mengetahui Pulau Pinang bakal mengalami gangguan bekalan air terawat secara berjadual mulai 10 hingga 14 Januari 2024 ini.
Difahamkan, sepanjang tempoh berkenaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) perlu melaksanakan kerja-kerja penggantian dua injap 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dekat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang bocor di samping kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan di 22 lokasi lain seluruh negeri.
Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI cuba mendapatkan maklum balas lanjut daripada beberapa wakil rakyat berhubung persiapan pada peringkat lapangan bagi mendepani gangguan bekalan air di kawasan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol memaklumkan bahawa pihaknya telah selesai mengedarkan 55 unit tong air di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pantai Jerejak.
“Persediaan ini mula dilaksanakan pada 5 Januari lepas, sebanyak 55 tong air dan 600 gelen air telah diedarkan kepada penduduk setempat.
“Di samping itu, sebanyak 37 tangki jumbo berserta dua tangki flexi bakal ditempatkan di beberapa buah lokasi seperti Masjid Bayan Baru, Surau Taman Sri Nibong, Surau Al-Latif serta flat di Lengkuk Mahsuri dan Putri Indah.
“Adalah diharapkan persediaan yang dilakukan ini cukup untuk menampung keperluan kira-kira 40,000 penduduk di Pantai Jerejak,” ujarnya sambil menyeru agar pengguna terjejas dapat melakukan persediaan awal dengan menyimpan air mencukupi sekurang-sekurangnya untuk tempoh empat hari.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin juga memaklumkan bahawa pihaknya turut menyediakan seunit tangki flexi dekat Pejabat Parlimen Bayan Baru.
“Kapasiti penduduk sekitar parlimen Bayan Baru adalah kira-kira 200,000 orang, oleh itu, pihak saya bertungkus-lumus membuat persediaan sehabis baik.
“Sebanyak 40 tong air serta lapan tangki flexi telah disediakan memandangkan kawasan ini (Bayan Baru) merupakan kawasan agak kritikal dan kita telah mengambil iktibar dari insiden paip pecah di dasar Sungai Perai baru-baru ini.
“Di samping itu, sebanyak 1,000 baldi air bakal diagihkan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), pesakit-pesakit dan juga warga emas,” katanya sambil menambah bahawa sebanyak 360,000 liter padu air telah tersedia setakat ini.
Tze Tzin berkata, bagi memudahkan penduduk sekitar mengetahui lokasi penyediaan bekalan air, mereka boleh imbas kod QR yang akan dihebahkan melalui sosial media rasmi Parlimen Bayan Baru.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik pula menyatakan bahawa barisan sukarelawan telah dikumpul untuk membantu menyelaras bekalan air ke seluruh kawasan Parlimen Balik Pulau.
“Sebanyak enam tangki flexi berkapasiti 24,000 liter setiap satu bakal ditempatkan di beberapa buah lokasi seperti Mutiara Perdana, Masjid Bayan Lepas, Flat Vanilla Sungai Batu, Flat Taman Prestij, Flat Taman Desa Genting, Flat Lily dan Flat Taman Seri Indah.
“Di samping itu, sebanyak 15 tangki statik berkapasiti 1,000 liter padu telah diedarkan ke KADUN Pulau Betong manakala sebanyak 250 buah ‘jerrycan’ berkapasiti 25 liter padu turut diedarkan bagi kegunaan golongan OKU dan juga warga emas.
“Walau bagaimanapun, kita berharap ahar semua penduduk menyimpan air sendiri dan semoga perancangan ini dapat memberi kemudahan terhadap kawasan yang berpendudukan padat,” tambahnya lagi.
ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz turut melakukan persiapan yang sama dengan menempatkan tangki flexi ke lokasi-lokasi ‘hotspot’.
“Sebanyak lapan buah tangki flexi telah dihantar ke beberapa lokasi hotspot, manakala sebanyak 15 buah ‘poly tank’ turut disediakan.
“Selain itu, sebuah treler jumbo turut ditempatkan di Blok 7 Flat Perda bersebelahan kilang bagi memudahkan penduduk sekitar mengambil bekalan air,” katanya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI