MP Balik Pulau hasrat bawa acara sukan santai ke peringkat lebih tinggi

TELUK BAHANG – Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik mengalu-alukan kehadiran pemain karom handal serata negeri ke Kejohanan Karom Terbuka Parlimen Balik Pulau yang diadakan pada Mac baru-baru ini.

Kejohanan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Balik Pulau itu melibatkan pasukan lokal Balik Pulau dikenali sebagai ‘Kelab Jarum Emas’ yang turut berjaya meraih kemenangan dalam kejohanan tersebut.

MUHAMMAD Bakhtiar menyampaikan hadiah hamper kepada pemenang bagi kategori perseorangan baru-baru ini.

Menurut Muhammad Bakhtiar, permainan karom ini kerap diadakan kini dek bukan sahaja diminati golongan berusia, malahan juga kanak-kanak berusia seawal lapan tahun.

“Kejohanan karom yang diadakan di sini turut dianggap sebagai Liga Perdana Inggeris kerana sambutan dan penyertaan yang ramai daripada pemain-pemain luar yang datang.

“Bukan itu sahaja, penganjuran kejohanan ini juga secara tidak langsung dapat mengembangkan lagi sektor pelancongan di kawasan Balik Pulau yang menyajikan pelbagai lokasi eko pelancongan menarik,” ujarnya pada majlis penutup kejohanan berkaitan di sini baru-baru ini.

SALAH seorang pemenang bertuah yang berjaya memenangi hadiah utama.

Sementara itu, bagi menjayakan kejohanan tersebut, Muhammad Bakhtiar turut menyumbang peruntukan berjumlah RM20,000 dan menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik.

“Bagi merancakkan lagi kejohanan ini, acara cabutan bertuah turut diadakan dan menawarkan hadiah utama berupa sebuah motosikal serta barangan lain seperti pengisar, pemanas air, periuk dan lain-lain lagi.

“Pemenang juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai berserta hamper dan piala yang menawarkan hadiah utama bagi kategori perseorangan sebanyak RM1,500 dan kategori beregu sebanyak RM3,000.

“Permainan karom ini diketengahkan dek ia merupakan sebuah acara sukan santai dan diminati semua lapisan umur sehingga menerima seramai 150 peserta dari negeri Kedah, Kelantan dan Selangor serta Pulau Pinang,” jelasnya lanjut.

SUASANA sekitar Kejohanan Karom yang diadakan melibatkan pemain dari serata negeri.

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar berhasrat menjadikan Balik Pulau sebagai ‘tuan rumah’ penganjuran kejohanan sukan santai pada masa depan.

“Pihak saya sememangnya fokus dalam membawa acara sukan santai seperti ini ke peringkat yang lebih tinggi…begitu juga menjelang 4 Jun 2023 ini yang mana acara ‘Balik Pulau Half Marathon’ bakal diadakan dan ia terbuka kepada 3,500 penyertaan.

“Selain itu, dimaklumkan juga menjelang Jun ini musim durian bakal tiba, oleh itu saya mengajak semua untuk berkunjung ke Balik Pulau sambil menikmati durian, melihat keindahan serta tarikan yang terdapat di sini.

“Pelbagai acara menarik dan persembahan konsert bakal diadakan melibatkan artis jemputan seperti Awie dan Zamani, tidak lupa juga kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Suan yang bakal menyempurnakan majlis perasmian nanti,” tambahnya lagi.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : IDZHAM AHMAD