MP Balik Pulau komited cukupkan persediaan di kawasan penduduk padat

img 7999

PULAU BETONG – Ekoran gangguan bekalan air terawat secara berjadual di negeri Pulau Pinang mulai 10 hingga 14 Januari ini, Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik memaklumkan pihaknya telah melaksanakan pelbagai persiapan bagi membantu pengguna yang terjejas.

photo 2024 01 11 13 43 41
DATO’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Muhammad Bakhtiar turut memuji tindakan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kerana telah mengambil langkah proaktif dengan memberi notis pemberitahuan gangguan bekalan lebih awal kepada umum.

“Gangguan bekalan air pada kali ini telah dimaklumkan sebulan lebih awal agar semua penduduk dapat membuat persediaan rapi dengan menyimpan air secukupnya.

“Kawasan di daerah Barat Daya terutamanya dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas cenderung mengalami gangguan atau terputus bekalan air berbanding di KADUN Pulau Betong.

“Di samping itu, pada hari ini pihak saya tetap melakukan persediaan dan menyusun atur apa yang termampu kerana ada yang tidak mendapat maklumat mengenai lokasi tangki statik yang telah disediakan.

“Saya turut dimaklumkan bahawa pada hari ini keadaan di beberapa kawasan seperti di Batu Uban dan Gelugor telah kembali pulih, saya berharap agar ADUN Batu Uban dan ADUN Pantai Jerejak juga dapat membantu kami yang masih terjejas,” ujarnya ketika dihubungi Buletin Mutiara baru-baru ini.

img 8015
TANGKI flexi berukuran 24,000 liter padu disediakan berdekatan Flat Taman Prestij.

Bagi menjayakan persediaan gangguan bekalan air Muhammad Bakhtiar, beliau sendiri turut menyumbangkan peruntukan sebanyak RM55,000 bertujuan menyediakan kemudahan kepada kawasan yang berpendudukan padat.

“Barisan sukarelawan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta Persatuan Bomba Sukarela (PBS) telah dikumpul untuk membantu menyelaras bekalan air ke seluruh kawasan Parlimen Balik Pulau.

“Sebanyak enam tangki flexi berkapasiti 24,000 liter setiap satu bakal ditempatkan di beberapa lokasi tumpuan awam seperti Mutiara Perdana, Masjid Bayan Lepas, Flat Vanilla Sungai Batu, Flat Taman Prestij, Flat Taman Desa Genting, Flat Lily dan Flat Taman Seri Indah.

“Selain itu, ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak PBAPP serta Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Edward Tan Chiew Choon yang bertungkus lumus menyediakan sebanyak dua ‘jumbo tank’ di Hotel Lexis Suites Penang dan sebuah lagi di Masjid Daerah Barat Daya.

“Di samping itu, sebanyak 15 tangki statik berkapasiti 1,000 liter padu telah diedarkan ke KADUN Pulau Betong manakala sebanyak 250 buah ‘jerrycan’ berkapasiti 25 liter padu serta air minuman turut diedarkan bagi kegunaan golongan orang kurang upaya (OKU) dan juga warga emas.

“Walau bagaimanapun, kita berharap agar semua penduduk dapat menyimpan air sendiri secukupnya dan semoga perancangan ini dapat memberi kemudahan terhadap kawasan yang berpendudukan padat,” tambahnya sambil menyatakan bahawa KADUN Teluk Bahang tidak terjejas dek mempunyai bekalan air dari Empangan Teluk Bahang.

Dalam sesi tinjauan berasingan, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar, IDZHAM AHMAD berkesempatan meninjau persediaan kawasan Parlimen Balik Pulau khususnya di kawasan berpenduduk padat.

img 8006

img 8024
SESI lawatan ke Pulau Betong dan Flat Genting Emas bersama-sama penduduk setempat.

Menurut Pegawai Penyelaras KADUN Pulau Betong, Ahmad Razaaim Azimi turut memaklumkan bahawa persediaan dalam keadaan terkawal serta berharap semua penduduk telah membuat persediaan awal.

“Setelah melewati beberapa lokasi berpenduduk padat, didapati semua tangki telah diisi dengan air dan sedia untuk digunakan apabila perlu.

“Terdapat juga penduduk yang inovatif menyediakan paip saluran di tangki flexi yang telah disediakan bagi memudahkan pengambilan air kelak.

“Justeru, diharapkan semua pihak dapat bekerjasama dengan baik dalam menyampaikan khidmat bakti kepada penduduk di kawasan ini dengan lebih efektif,” ujarnya.

img 8009

img 8011
SEKITAR sesi tinjauan yang diadakan baru-baru ini melibatkan KADUN Pulau Betong.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : IDZHAM AHMAD