MP Bukit Bendera selar vandalisme

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWNAhli Parlimen (MP) Bukit Bendera, Zairil Khir Johari menyelar sekeras-kerasnya perbuatan vandalisme pada papan iklan milik Urban Development Authority (UDA) di Tanjong Tokong yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein al-Haj (Perdana Menteri kedua).

Zairil berkata, tindakan mengaibkan pemimpin Negara adalah bersifat kebudak-budakan dan tidak mencerminkan budaya politik baru masa kini.

“Saya berasa kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab mereka yang melakukan vandalisme tersebut.

“Dan mengecam sekeraskerasnya perbuatan vandalism ini,” ujar Zairil baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute (PI) berkata, secara peribadi bel iau sangat menghormati jasa Abdul Razak dalam membangunkan Negara bangsa, khususnya dalam mereformasikan demografi Bandar serta menaiktaraf hidup masyarakat migran di bandar.

Malah, kata Zairil, ayahandanya Tan Sri Mohamed Khir Johari merupakan kawan karib yang pernah menyertai kabinet pertama pimpinan Abdul Razak.

Justeru, katanya, perbezaan politik kepartian seharusnya tidak menjurus pada serangan peribadi atau fizikal ke atas mana-mana ahli politik.

“Meskipun saya dan Datuk Seri Najib berbeza dari segi pandangan politik, namun saya tetap yakin bahawa tumpuan harus diberikan kepada perdebatan idea, dasar dan ideologi, bukan serangan peribadi atau fizikal.

“Politik, saya percaya adalah suatu usaha berterusan untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat dan kita perlu mencegah perbuatan khianat dan dangkal seperti itu (vandalisme),” ujar beliau.