MP terkejut swasta Pelabuhan P. Pinang ‘senyap-senyap’

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB & AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Langkah Putrajaya menswastakan Pelabuhan Pulau Pinang kepada syarikat berkaitan jutawan industri, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary tanpa sebarang kenyataan umum mengundang rasa terkejut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Menurut Tze Tzin, beliau sendiri mengetahui status terbaru pelabuhan komersial itu dari Jawapan Bertulis  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar bertarikh 24 Mac lepas, semasa berlangsungnya perbahasan di Dewan Rakyat.

“Kenapa Pelabuhan Pulau Pinang ini diswastakan secara ‘senyap-senyap’. “Adakah Kerajaan (Pusat) takut  rakyat mengetahui satu lagi aset strategik nasional telah diswastakan, dan, pemenang sekali lagi adalah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary,” tanya Tze Tzin melahirkan rasa musykil mengenai punca pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membuat pengumuman terbuka yang dianggap penting itu.

Dalam Jawapan Lisan Abdul Wahid dipetik menyebut:
“Syarikat Seaport Terminal (Johore) Sdn. Bhd. telah diperakui sebagai pembida yang berjaya bagi cadangan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang melalui pemilikan ekuiti di dalam Penang Port Sdn. Bhd..

“Rundingan mengenai terma-terma perjanjian telah dimuktamadkan dan perjanjian tambahan (supplemental agreement) penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang telah ditandatangani pada 23 November 2013 antara pihak kerajaan yang diwakili oleh Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dengan pihak syarikat.”

Justeru katanya, pentadbiran Najib mesti menerangkan perkara sebenar di sebalik langkah penswastaan  ‘senyap-senyap’ pelabuhan itu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik.