MPBN platform belia ketengahkan usul dan isu pembangunan negara

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) masih lagi relevan dan akan terus konsisten memainkan peranan sebagai satu platform perbahasan untuk golongan beliau, ujar Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee.

 

Lip Chee berkata, MPBN merupakan medium untuk belia mengetengahkan usul dan isu pembangunan negara sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

 

“MPBN perlu terus membahaskan suara-suara belia yang menyumbang kepada pembangunan negara.

 

“Saya percaya jika ini dilaksanakan secara terancang dan tersusun, kita bukan saja mampu memberikan lebih peluang kepada masyarakat terutamanya generasi muda di peringkat akar umbi, malah agensi-agensi kerajaan di peringkat tersebut juga dapat melibatkan diri dengan aktif dalam agenda pembangunan belia negara,” ujar Lip Chee ketika mempengerusikan MPBM Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini semalam.

 

Hadir sama Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Zul Fadhli Abd. Aziz, Datuk T. Narenasagaran (Ketua Polis Pulau Pinang) dan Lim Swee Bok (Pengerusi Majlis Belia Negeri Pulau Pinang).

 

Sebelum itu, Lip Chee turut menyempurnakan pemberian watikah pelantikan  ahli dan penasihat MPBN Pulau Pinang.

 

Menurut Lip Chee, MPBN bukan sahaja bertindak sebagai sebuah badan perundingan, malah berevolusi menjadi sebuah institusi polisi dan dasar penting di dalam agenda transformasi negara melalui penglibatan golongan belia di Malaysia.

 

“Saya amat berharap agar platform MPBN ini digunakan sebaik-baiknya bagi mencetus dan membincangkan secara telus akan mekanisme dan kaedah yang sesuai untuk para belia mencapai minda kelas pertama yang diharapkan, malah menyediakan mereka selaras dengan harapan kita menuju #youthpower,” katanya.