GEORGE TOWN – Barisan anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) memainkan peranan yang amat penting sebagai perantara antara rakyat dengan Kerajaan Negeri dalam menyalurkan sebarang hebahan.
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa barisan MPKK merupakan aset berharga kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Selain menjadi penggerak utama dalam mengukuhkan perpaduan, peranan MPKK juga adalah untuk memperkasa rakyat dengan meningkatkan penyertaan awam sebagaimana digariskan dalam Tema C di bawah Visi Penang2030,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPKK Daerah Timur Laut dan Barat Daya di Dewan Sri Pinang pada 3 Oktober 2024.
Menurut Kon Yeow, program-program anjuran MPKK telah merapatkan ukhuwah antara rakyat dan anggota pentadbiran negeri sebagai sebuah keluarga, khususnya (program-program) ketika bulan Ramadan, musim-musim perayaan, sambutan atau keraian lain (di kawasan masing-masing) hasil kerja keras barisan MPKK sekalian.
Bukan itu sahaja, ketika negeri dilanda ujian atau krisis seperti gangguan bekalan air, banjir, kebakaran dan sebagainya, MPKK sentiasa menjadi barisan paling hadapan menyalurkan bantuan dan membantu rakyat yang memerlukan.
“Malah, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa peranan yang dilaksanakan oleh barisan anggota MPKK menjadi salah satu punca utama pengurusan bencana di negeri ini teratur dan efisien,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua anggota MPKK berkaitan.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi mahu penglibatan generasi muda sebagai sebahagian anggota MPKK dititikberatkan.
“Ini adalah untuk mendorong usaha melahirkan komuniti yang mampan, berakhlak dan berilmu dengan membentuk sebuah komuniti yang beridentiti serta berkualiti,” zahirnya yang berharap semua ahli MPKK yang dilantik dapat melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid ketika menyampaikan ucapan alu-aluan memaklumkan bahawa penyerahan watikah pelantikan hari ini melibatkan 151 MPKK iaitu 92 MPKK daerah Timur Laut dan Barat Daya (59).
“Keseluruhan (pelantikan) bagi negeri Pulau Pinang untuk penggal 2024 sehingga 2028 adalah seramai 375 MPKK.
Tahniah saya ucapkan kepada semua anggota MPKK yang terpilih, saya harap setiap anggota MPKK dapat memahami objektif penubuhan MPKK.
“(Dan) pada masa sama, mengetahui secara jelas hala tuju institusi MPKK di bawah seliaan masing-masing agar peranan dan tugas yang diamanahkan dilaksanakan selari dengan dasar Kerajaan Negeri,” katanya yang juga Exco Perpaduan Masyarakat.
Dalam ucapan sama, Mohamad juga memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM12.97 juta bagi pembayaran elaun tetap kepada Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari di setiap MPKK termasuk Elaun Pengurusan Mesyuarat pada kadar RM100 dan Elaun Kehadiran Mesyuarat sebanyak RM100 untuk 12 kali mesyuarat setahun pada tahun ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol dan barisan ADUN di bahagian pulau.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Long; Pegawai Daerah Timur Laut, Dato’ Rosli Halim dan Pegawai Daerah Barat Daya, Hafiz Aswad Nadzri antara yang turut serta dalam majlis tersebut.
Difahamkan, majlis penyerahan watikah terbahagi kepada dua peringkat iaitu membabitkan dua daerah di bahagian pulau dan seterusnya di Seberang Perai melibatkan daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN