PELAKSANAAN beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini diganti dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah menyebabkan banyak pihak berdepan kesukaran sama ada daripada segi ekonomi mahupun kesihatan.
Bukan sahaja kumpulan berpendapatan rendah (B40) yang sememangnya memerlukan bantuan berterusan daripada pihak berwajib, malah tidak terkecuali juga kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan segelintir mereka yang berpendapatan tinggi (T20).
Justeru, keadaan ini menuntut keprihatinan yang tinggi daripada wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk memastikan kebajikan rakyat di kawasan masing-masing sentiasa terjaga dan terbela.
Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang bawah pimpinan Chong Eng antara yang aktif menjalankan program penyaluran bantuan bagi memastikan tiada seorang pun rakyat yang ‘kelaparan’ dalam tempoh getir ini.
Dibantu oleh barisan pimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang prihatin dan berwibawa, pelbagai bentuk bantuan disampaikan terus kepada rakyat tanpa henti sejak pandemik COVID-19 melanda negara termasuk Pulau Pinang.
MPKK Kampung Baru Alma antara salah satu MPKK yang giat melaksanakan program kebajikan dan kesukarelawan untuk membantu rakyat dalam menghadapi situasi mencabar kini.
Setiausahanya, SITI FARI HAH ZONOL, 40, ketika ditemui Buletin Mutiara menjelaskan bahawa adalah penting untuk memastikan setiap bantuan yang disalurkan kepada rakyat dilakukan secara adil dan telus tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik.
“Kita salur bantuan mengikut permintaan dan keperluan sama ada kepada mereka yang datang sendiri di Pusat Khidmat KADUN atau yang kita jejaki dari rumah ke rumah seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Bagi memastikan ketelusan, kita telah menyediakan borang soal selidik untuk mengesan pihak-pihak yang memerlukan ini tanpa mengira apa fahaman politik mereka.
“Ini juga adalah amanah YB (Chong Eng) sendiri yang sentiasa menegaskan bahawa bantuan hendaklah diberikan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengambil kira parti politik mereka yang mereka sokong,” katanya ketika ditemui dekat Pejabat Pusat Khidmat KADUN Padang Lalang pagi tadi.
Walaupun adakalanya usaha yang dilaksanakan mendapat kritikan daripada sesetengah pihak, Siti Fari Hah menjelaskan bahawa perkara itu tidak menjadi alasan untuk beliau dan pasukan berputus asa dalam usaha membantu rakyat.
“Ada juga yang mempersoalkan keikhlasan kita dalam menyalurkan bantuan kerana memerlukan mereka mengisi beberapa maklumat peribadi, tetapi apa yang kita lakukan adalah untuk mengelakkan ketirisan.
“Ini kerana, melalui borang soal selidik inilah kita dapat mengesan sama ada mereka memerlukan bantuan atau tidak selain menentukan apakah jenis bantuan yang mereka perlukan ketika ini.
“Selain itu, kita juga tidak mahu timbul sebarang pertikaian pada masa akan datang berkaitan penyaluran bantuan kerana semua yang kita salurkan direkod sebagai bukti,” tegasnya.
Mengulas mengenai trend mengibar ‘bendera putih’, Siti Fari Hah dengan bangganya menyatakan bahawa isu tersebut tidak pernah berlaku di kawasan MPKK Kampung Baru Alma.
“Apabila menerima aduan sama ada melalui panggilan telefon mahupun aplikasi WhatsApp, kita akan pastikan sebelum mereka mengangkat ‘bendera putih’, kita cepat-cepat salurkan bantuan yang diperlukan kurang dari 24 jam,” jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, bantuan yang disediakan oleh pihaknya bukan sahaja barang makanan tetapi juga dalam bentuk baucar untuk membeli keperluan asas mengikut keperluan masing-masing.
“Selain bahan makanan kita juga berikan bantuan berbentuk baucar bernilai RM50 hingga RM100 supaya mereka boleh pergi ke pasar raya terpilih untuk membeli sendiri barangan yang mereka perlukan.
“Bantuan baucar ini diutamakan untuk keluarga yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai khususnya kanak-kanak.
“Bagi sesetengah keluarga, mereka tidak mempunyai masalah daripada segi bekalan makanan tetapi memerlukan keperluan lain seperti susu tepung, lampin pakai buang, peralatan sekolah anak-anak dan sebagainya.
“Malah, bantuan yang kita salurkan ini bukanlah berbentuk sekali sahaja tetapi sekiranya mereka masih memerlukan kita akan berikan lagi dengan syarat mesti lebih satu atau dua minggu selepas menerima bantuan pertama kecuali bagi keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang ramai,” ulasnya.
Menurut Siti Fari Hah, kerja-kerja kebajikan yang dilakukan sejak sekian lama telah banyak memberikan pengajaran dan pengalaman tersendiri buat diri beliau khususnya dalam aspek menyantuni golongan yang memerlukan.
“Saya masih ingat lagi, pernah satu masa saya terlepas pandang untuk menyalurkan bantuan kepada sebuah keluarga yang benar-benar daif di kawasan ini tetapi tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana pihak.
“Selepas menyedari hal itu, saya cuba mendekati keluarga terbabit untuk membantu memandangkan kediaman yang dihuninya sangat usang selain dipenuhi sampah-sarap.
“(Dan) apabila kita selidiki rupa-rupanya dia memang bekerja sebagai pengumpul barangan terpakai sebagai punca pendapatan, jadi kita ambil tindakan menyalurkan bantuan dengan segera,” jelasnya lagi.
Selain itu katanya, bantuan juga disalurkan kepada keluarga yang terpaksa menjalani kuarantin di rumah.
“Keluarga yang dikuarantin, walaupun ada duit tetapi mereka tidak boleh keluar, jadi kita memang akan berikan mereka bantuan dalam bentuk makanan dan barangan asas mengikut keperluan semasa,” ujarnya yang telah terlibat dalam kerja kesukarelwan sejak lima tahun lalu.
Sementara itu, Pengurus Pusat Khidmat KADUN Padang Lalang, JOTHI JHEN HAO, 35, berkata bahawa pihaknya turut memberi perhatian kepada golongan M40 yang merupakan kumpulan paling terjejas dek penularan pandemik COVID-19.
“Banyak juga mereka yang daripada kumpulan M40 yang memerlukan bantuan tetapi malu untuk tampil meminta bantuan atas pelbagai alasan.
“Kumpulan ini kebanyakannya peniaga dan tidak memerlukan bantuan dalam bentuk makanan tetapi lebih kepada kewangan kerana komitmen mereka sangat tinggi seperti membayar ansuran rumah, kereta, utiliti serta lain-lain.
“Jadi, untuk kumpulan ini kita akan fikirkan jenis bantuan yang berbeza yang mana kita akan menggunakan strategi serampang dua mata dengan membeli produk mereka untuk disalurkan kepada golongan B40.
“Melalui kaedah itu, kita dapat membantu kumpulan B40 dan pada masa sama kita juga membantu golongan M40 dan T20,,” jelasnya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS