MPKK Kampung Melayu muncul juara, bawa pulang hadiah RM30,000

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang terus menghargai peranan 375 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang berperanan bukan hanya sebagai mata serta telinga kepada Kerajaan Negeri malah juga jentera barisan hadapan yang sangat penting dalam menyalurkan dasar-dasar dipratikkan.

 


Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, serentak itu, MPKK turut memainkan peranan penting dalam mendapatkan input keperluan pembangunan dan aduan berkaitan bagi kawasan seliaan masing-masing untuk disalurkan kepada agensi berkaitan.

 

 

“Sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini, perkhidmatan MPKK Penggal 2021/2022 yang telah tamat pada 31 Disember 2022 akan dilanjutkan sehingga 30 September 2023 bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan MPKK seiring dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih belum dibubarkan.

 

 

“Dengan ini, adalah diharapkan anggota MPKK dapat memanfaatkan tempoh pelanjutan ini untuk terus menyantuni komuniti di kawasan masing-masing dengan pelbagai program yang bermanfaat demi penduduk kawasan masing-masing.

 

 

 

“Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa sentiasa menghargai peranan yang dilaksanakan oleh MPKK melalui pelbagai inisiatif termasuk kenaikan Elaun Kehadiran Mesyuarat (EKM) daripada RM50 kepada RM100 dan juga pemberian Elaun Bendahari sebanyak RM300 setiap bulan,” ujarnya pada Majlis Anugerah MPKK Terbaik Peringkat Negeri Pulau Pinang Penggal 2021/2022 di sini sebentar tadi.

 

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti, Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

 

 

 

Tambah Kon Yeow, melalui Pertandingan MPKK Terbaik Peringkat Negeri Pulau Pinang, ia dapat disimpulkan bahawa terdapat banyak MPKK yang mempunyai pasukan sangat ideal dan sentiasa bekerjasama secara kolektif demi menjadikan pasukan masing-masing tersusun dalam aspek pengurusan serta operasi, sekaligus memberi impak daripada segi perkhidmatan kepada penduduk kawasan masing-masing.

 

 

 

“Walaupun adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah, namun pertandingan ini menunjukkan bahawa operasi setiap MPKK telah mencapai satu tahap yang lebih baik dalam pengurusan organisasi.

 

 

“Adalah diharapkan dengan segala bentuk penghargaan dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini, ia dapat meningkatkan lagi semangat MPKK dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh komited, berintegriti dan adil kepada semua anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang, keturunan serta pegangan agama,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

 

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin memberitahu bahawa antara faktor yang dinilai menerusi pertandingan yang dianjurkan adalah meliputi keseluruhan aspek seperti inovasi, pentadbiran, program dan aktiviti, keselamatan, pengurusan bencana serta komitmen.

 

 

Pada majlis anugerah dwi tahunan itu, MPKK Kampung Melayu dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam muncul johan menewaskan lima finalis lain dan berjaya membawa pulang geran bernilai RM30,000 beserta trofi.

 


Tempat kedua diraih oleh MPKK Cheruk Tok Kun dengan membawa pulang hadiah berjumlah RM10,000 bersama trofi manakala tempat ketiga, MPKK Sungai Kechil dengan hadiah wang tunai RM5,000.

 

 

MPKK Gertak Sanggul dan Pongsu Seribu masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima dengan membawa pulang hadiah RM1,500.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD