AIR ITAM – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) merupakan tonggak kepada kekuatan masyarakat pada peringkat akar umbi serta memainkan peranan amat penting dalam pembangunan komuniti di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika merasmikan program Karnival Kesihatan dan Keselamatan anjuran MKPP Jalan Masjid Negeri dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gelugor dekat perkarangan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 1 di sini sebentar tadi.
Menurut beliau, penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang telah dianjurkan oleh MPKK di negeri ini adalah selaras dengan Visi Penang2030 di bawah Tema C iaitu memperkasa rakyat bagi meningkatkan penyertaan masyarakat.
“Semua acara melibatkan komuniti yang dianjurkan oleh MPKK perlu diberikan sokongan kerana MPKK merupakan kekuatan pada peringkat akar umbi.
“Kerajaan Negeri berharap agar semua MPKK di negeri ini dapat memainkan peranan masing-masing serta menyokong agenda Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemerintah kepada rakyat.
“Kita telah menyaksikan begitu banyak kejayaan yang diraih di negeri Pulau Pinang hasil kerjasama di antara Kerajaan Negeri dengan pelbagai pihak termasuk agensi negeri serta Persekutuan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi pada peringkat akar umbi,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada MKPP Jalan Masjid Negeri atas penganjuran karnival tersebut.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syeerlena Abdul Rashid; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik Negeri Pulau Pinang, Asisten Komisioner Razizan Ibrahim; Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Simpanan (FRU), Supritendan Mohd. Khairuddin Jamal; Pengerusi MPKK Jalan Masjid Negeri, Mohd. Farook Ismail serta wakil-wakil komuniti setempat.
Kon Yeow berkata, penganjuran pelbagai program pada peringkat komuniti juga dapat membantu mengelakkan masyarakat terutama golongan belia daripada terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah.
Beliau menyatakan bahawa ia adalah berikutan statistik yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan kes penyalahgunaan dadah di negeri Pulau Pinang masih tinggi, dengan lebih 22,000 kes telah direkodkan pada tahun lepas.
“Pulau Pinang sukar untuk terlepas daripada kes penyalahgunaan dadah walaupun pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak-pihak berwajib bagi menangani gejala ini.
“Ini berikutan kedudukan Pulau Pinang yang strategik menyebabkan negeri ini sering menjadi hab transit bagi sindiket pengedaran dadah yang dibawa masuk bahan terlarang itu dari negara jiran sama ada melalui jalan darat atau laut.
“Justeru, Kerajaan Negeri amat menghargai segala usaha yang telah dijalankan oleh pihak PDRM umtuk menumpaskan sindiket pengedaran serta aktiviti penyalahgunaan dadah di negeri ini.
“Selain usaha daripada agensi penguatkuasa, pada masa sama, kita juga berharap agar komuniti setempat dapat memainkan peranan masing-masing, khususnya ibu bapa bagi memastikan anak-anak tidak terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah,” serunya.
Sebelum itu, Razizan semasa berucap mewakili Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang menyatakan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik Negeri Pulau Pinang telah membuat tangkapan sebanyak 22,454 yang melibatkan dadah pada tahun 2024.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 2,671 kes adalah melibatkan bekalan, memiliki dadah (7,419) dan positif ujian air kencing (urin) sebanyak 12,364 kes, dengan purata sebanyak 1,800 kes sebulan.
“Bagi penagih berulang pula, sebanyak 454 kes tangkapan telah dilakukan pada pada tahun lepas,” katanya.
Sementara itu, Ram Karpal yang turut berucap memberitahu bahawa penganjuran Karnival Kesihatan dan Keselamatan tersebut bukan sahaja dapat mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat setempat tetapi juga memupuk aktiviti sihat dalam kalangan remaja.
“Kami akan terus memberikan sokongan kepada penganjuran aktiviti seperti ini.
“Kami berharap agar aktiviti seperti ini dapat memberi semangat kepada remaja dan golongan belia untuk melibatkan diri dalam aktiviti lebih sihat, sekali gus menjauhi aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Sebagai wakil rakyat, kita akan menjalinkan kerjsama dengan Kerajaan Negeri bagi membantu mengatasi masalah penyalahgunaan dadah yang merupakan isu serius di seluruh negara,” katanya.
Selain pertandingan sepak takraw, karnival yang melibatkan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, Madrasah Tahfiz Darul Ukasha itu turut dimeriahkan dengan pelbagai lagi acara seperti bola sepak, pentandingan mewarna dan pemerikasaan kesihatan percuma.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : LAW SUUN TING