MPKK pacu pembangunan negeri seiringan capai Visi Penang2030

Admin
1671eeee 1615 497b 8fe4 c406343a78cd

PADANG KOTA – Semangat kerjasama dalam kalangan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang menjadi perantara masyarakat dan Kerajaan Negeri telah membentuk perpaduan serta pembangunan Pulau Pinang secara menyeluruh.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru supaya semua MPKK dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini bergerak seiringan dalam melestarikan pembangunan ekonomi negeri.

“Adalah menjadi harapan saya agar majlis ini membuka peluang kepada semua untuk merapatkan silaturahim, malah, secara tidak langsung, ia akan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin di samping mewujudkan semangat perpaduan serta kekeluargaan seiring dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Umumya, usaha ke arah menggerakkan Visi Penang2030 akan membawa negeri ke arah pembangunan yang holistik serta mampan di samping memastikan pembangunan ekonomi yang seterusnya membawa manfaat menyeluruh kepada rakyat jelata,” ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MPKK Lebuh Pasar dan ADUN Padang Kota dekat sini sebentar tadi.

aed3e7fa db04 4584 a422 562882b3ab96
MOMEN bergambar bersama-sama dif kehormat yang turut hadir.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader dan Pengerusi MPKK Lebuh Pasar, Shafiz Rahim Raja serta Ahli-ahli Majlis bagi MBPP.

99059b74 9c26 4178 995c 12ac048635cc
SESI ucaptama sebentar tadi.

Sementara itu, Kon Yeow yang juga merupakan ADUN Padang Kota juga berharap pelaksanaan Fasa 2 projek Gurney Bay akan berjalan dengan lancar.

“Pagi tadi, saya telah mengadakan lawatan khas meninjau perkembangan Fasa 2 projek Gurney Bay yang kini menjadi ikon terkini kepada negeri Pulau Pinang yang mana selain menjadi tumpuan pengayuh basikal, promenade tersebut juga telah menjadi salah satu lokasi rekreasi kepada penduduk lokal selaras dalam melahirkan rakyat yang sihat fizikal juga mental.

“Justeru, diharapkan Fasa 2 (projek Gurney Bay) dapat berjalan dengan lancar dan boleh dibuka kepada umum menjelang tahun 2026 dengan dilengkapi ruang parkir bertingkat, kemudahan sukan serta rekreasi.

“Berlandaskan ini, saya sekali lagi menekankan bahawa Kerajaan Negeri akan terus membawa percambahan pembangunan, kepesatan sosioekonomi dan kelengkapan infrastruktur demi kepentingan seluruh rakyat negeri yang kita cintai ini,” ulasnya yang merupakan Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

ca1704a9 d0a5 4a9f 81e8 04d41fa37a37
KETUA Menteri semasa menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada penerima bantuan.

Pada majlis sama, difahamkan seramai 15 penerima yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) sekitar Parlimen Tanjong menerima sumbangan keperluan yang disampaikan oleh Kon Yeow.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : LAW SUUN TING