KEBUN BUNGA – Majlis Perbandaran Pulau Pinang memperuntukkan RM 1.69 juta dan melantik lima kontraktor bagi menyelenggara lima zon sepanjang jajaran Batu Feringghi sebagai salah satu inisiatif menambahbaik fasiliti di lokasi berkenaan di sini tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, projek lain yang sedang berjalan adalah seperti pembinaan gazebo. Pada masa sama, Golden Sands Resort turut serta dalam pembinaan tempat mandi untuk para pengunjung melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat pihaknya.
“Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serta agensi lain sedang menambahbaik fasiliti dan kemudahan di Batu Feringghi bagi menjamin keselesaan pengunjung.
“Pada masa sama, keselamatan pelancong juga menjadi keutamaan MPPP kini,’’ katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan dan Keputusan Ujian Mate GT 500 Domestik Terhad (model enjin bot) Kepada Pengusaha-pengusaha Aktiviti Riadah Pantai di sini baru-baru ini.
Seramai 31 perserta telah menyertai program anjuran Jabatan Laut Wilayah Utara yang bertujuan memberi penekanan berhubung aspek keselamatan pantai, alat bantuan, alam sekitar, dan kawalan bot berkenaan.
“Saya berharap, dengan adanya kursus ini, kemalangan boleh dielakkan atau dikurangkan.
“Pada masa sama, diharap pekerja-pekerja pantai juga boleh mengendalikan bot dengan lebih baik,’’ ujar beliau.