MPPP kompaun kontraktor tidak kutip sampah

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

LONGGOKAN sampah yang tidak diangkut melebihi dua hari di Taman Sahabat menuju Gertak Sanggul di sini.
LONGGOKAN sampah yang tidak diangkut melebihi dua hari di Taman Sahabat menuju Gertak Sanggul di sini.

BAYAN LEPAS – Bertindak atas  aduan awam, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah mengadakan satu lawatan mengejut di beberapa lokasi berhubung kegagalan kontraktor pengangkut sampah (AWS) yang dipercayai tidak menjalankan kerja pengutipan sepertimana dijadualkan di sini.

Turut serta dalam operasi membabitkan kawasan Kampung Nelayan, Suluk, Gertak Sanggul dan Taman Sahabat di sini adalah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Kesihatan Awam dan Perlesenan (JPPP).

Menurut Ahli Majlis MPPP, Iszuree Ibrahim, inisiatif tersebut adalah hasil daripada kegagalan AWS mengutip sampah sehingga memenuhi tangki sampah yang disediakan dan mengundang suasana persekitaran kurang selesa.

“Lanjutan itu, kita (MPPP) telah mengadakan perbincangan dengan pihak kontraktor dan kata sepakat telah dicapai apabila mereka (kontraktor) bersetuju untuk menjalankan kerja pengutipan seperti biasa selepas ini.

“Malah, kompaun juga telah dikeluarkan dan tempoh tiga bulan diberikan kepada syarikat kontraktor yang dilantik sejak tahun 90-an tersebut untuk meningkatkan prestasi. Sekiranya masalah ini masih berlarutan, kita (MPPP) tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun susulan atau menamatkan kontrak mereka,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.