SEBERANG PERAI – Ekoran pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Ampang Jajar dijadikan lokasi gunasama pelupusan sisa pepejal bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
Sebelum ini, bagi MPPP, pelupusan adalah dilakukan di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Batu Maung bahagian pulau Pulau Pinang di sini.
Yang DiPertua (YDP) MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, ekoran ‘perkongsian’ tersebut, secara purata, Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Ampang Jajar menerima dan memproses 500 ton bahan (sisa pepejal) dengan 220 trip pengangkutan dari MPSP dan 650 ton dengan 300 trip (MPPP) setiap hari.
“Stesen tersebut beroperasi 24 jam sehari dan 365 hari setahun. Malah, bagi melancarkan perjalanan operasi, penyusunan waktu telah dilakukan bagi mengelak pertembungan penerimaan sisa pepejal dari kawasan pulau iaitu MPPP dengan MPSP.
“Waktu operasi bagi MPSP adalah bermula dari jam 7 pagi hingga 7 malam, manakala waktu operasi bagi MPPP bermula jam 7 malam hingga 7 pagi berikutnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Pengurusan Stesen Pemindahan Sisa Ampang Jajar di Ibu Pejabat MPSP di sini baru-baru ini.
Jelas beliau lagi, stesen pembinaan di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Ampang Jajar adalah untuk dijadikan tempat pengumpulan dan pemampatan sisa pepejal yang dikutip dari kawasan Seberang Perai Utara (SPU) serta sebahagian kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) sebelum dihantar ke Tapak Pelupusan Pulau Burung untuk proses pelupusan.