MPPP peka kemudahan penjaja

Admin

AR. Patahiyah Ismail (kiri sekali) memberi penjelasan mengenai pelan pembaharuan Astaka MPPP Batu Maung yang baru pada majlis perasmiannya di sini.
AR. Patahiyah Ismail (kiri sekali) memberi penjelasan mengenai pelan pembaharuan Astaka MPPP Batu Maung yang baru pada majlis perasmiannya di sini.

LIM Guan Eng (kanan) bersalaman dengan salah seorang penjual ikan di Astaka MPPP Batu Maung baru-baru ini.
LIM Guan Eng (kanan) bersalaman dengan salah seorang penjual ikan di Astaka MPPP Batu Maung baru-baru ini.

 

BATU MAUNG – Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sentiasa prihatin dengan keperluan dan kemudahan para penjaja di Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau. Menurut Yang DiPertua MPPP, Ar. Patahiyah Ismail dalam ucapan beliau sempena perasmian Astaka Batu Maung yang baharu, MPPP sedang berusaha memperbaiki dan menaiktaraf beberapa kemudahan perniagaan khususnya kepada para penjaja supaya lebih selesa dan praktikal. Malah MPPP turut berusaha menyediakan keperluan asas di premis-premis perniagaan dengan bekalan air dan tenaga elektrik bagi melancarkan urusan jual beli di sesebuah premis.

Astaka Batu Maung telah dinaiktaraf pada April lalu dan kini sedia beroperasi dengan 58 buah gerai yang terdiri daripada gerai bagi keluaran pasar dan gerai makanan. Kerajaan Negeri dan MPPP telah memperuntukkan sejumlah RM768,877 bagi kerja-kerja menaiktaraf. Malah komitmen Kerajaan Negeri dan MPPP telah memberi keselesaan bukan sahaja kepada para penjaja di astaka tersebut malah buat pengunjung.

Kini Astaka Batu Maung bukan sahaja mempunyai ruang perniagaan yang selesa dan teratur malah turut mempunyai kemudahan tandas, bekalan air dan elektrik, peparitan yang sistematik, sistem pepaipan, fasad baharu dan depo sampah yang lebih kemas dan bersih. Selain itu, kadar sewa RM15 sebulan masih dikekalkan.

Dalam ucapan Patahiyah, beliau menyatakan bahawa MPPP telah menyediakan sejumlah 23 buah pasar awam, 40 buah kompleks penjaja dan 50 tapak penjaja yang akan diselenggarakan dan dinaiktaraf dari masa ke masa. Bagi tahun ini, MPPP menganggarkan peruntukkan untuk menaiktaraf lima buah pasar termasuk pasar Jelutong, pasar Lebuh Cecil, pasar Pulau tikus dan pasar Air Itam yang keseluruhannya berjumlah RM4,275,857.

Malah bagi tahun 2011 ini, MPPP telah memperkenalkan temuduga terbuka kepada penjaja yang berpotensi untuk mengisi kekosongan ruang perniagaan di pasar-pasar awam, kompleks penjaja dan tapak penjaja. Sehingga Mei 2011, sebanyak lima sesi telah diadakan dengan dihadiri lebih 1,067 orang dan seramai 540 orang telah berjaya dalam sesi temuduga dan diberikan ruang perniagaan.

Dalam pada itu, Patahiyah turut mengingatkan para penjaja, dalam keghairahan mencari keuntungan, aspek-aspek penting yang lain tidak harus diabaikan. Kebersihan dan keselamatan menjadi aspek terpenting dalam memastikan kelancaran perniagaan. Oleh demikian, MPPP turut menyediakan program pendidikan dan latihan khas kepada para penjaja. Selain itu, operasi bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang akan diteruskan bagi memastikan pemantauan tahap keselamatan dan kebersihan sentiasa diamalkan.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Abdul Malik Abul Kassim; ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin ; Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye dan beberapa ahli-ahli Majlis MPPP.