GEORGE TOWN – Sekurang-kurangnya 990 kompuan telah dikeluarkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kepada premis makanan yang tidak mematuhi peraturan kebersihan antara Januari hingga Disember 2011.
Ahli Majlis MPPP selaku Pengerusi Gantian Tetap Kesihatan Awam, Ong Ah Teong berkata, kesalahan itu adalah
mengikut Undang-undang Kecil Establishment Makanan 1991.
MPPP melakukan pemantauan kebersihan bukan saja terhadap tahap kebersihan premis, malah, turut meninjau aspek kebersihan pengendali premis bagi menjamin tahap kualiti makanan disediakan.
“Pihak MPPP hanya boleh mengenakan kompaun kepada pengusaha, proses selebihnya kita akan rujuk kes berkenaan kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk tindakan lanjut. Premis yang didapati bersalah hanya boleh diarahkan tutup oleh JKN sahaja,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, kes tertinggi yang dikenakan kompaun adalah kesalahan tidak menjalankan suntikan typhoid yang wajib diambil oleh setiap pekerja samada pekerja sambilan mahupun pekerja tetap.
“Pihak MPPP sebelum ini turut mengadakan kursus buat pengendali makanan. Yuran RM50 yang dikenakan turut melibatkan proses suntikan typhoid kepada peserta sejurus selesai menghadiri kursus. Suntikan ini adalah subsidi daripada pihak MPPP sendiri.
“Kita juga dalam rangka perbincangan dengan lebih terperinci bersama JKN untuk melihat seandainya terdapat percanggahan apa yang dilaksanakan oleh MPPP dengan pihak JKN.
Beliau berkata, pada tahun 2014, Kementerian Kesihatan akan menguatkuasa dan mewajibkan pengusaha makanan menghadiri kursus sebegini.
“Kita tidak mahu menunggu sehingga tahun 2014 untuk melakukannya. Pulau Pinang telah melangkah setapak ke hadapan dengan melakukan kursus ini terlebih dahulu kerana adalah pentingnya kualiti industri makanan terjamin dan dijaga,” ujarnya.