MPPP tegas beri lesen premis parkir

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Bagi setiaptempat letak kereta (parkir) yang ingin beroperasi di sini, adalah diwajibkan untuk memperoleh kelulusan daripada pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Gantian Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong berkata, sebelum diluluskan, beberapa spesifikasi ketat perlu dipatuhi dan penilaian turut akan dilakukan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan Bomba dan Penyelamat sebelum sesuatu permohonan diluluskan.

“Pada masa sama, bayaran lesen sekitar RM100 hingga RM300 bergantung kepada jumlah parkir juga akan dikenakan demi jaminan keselamatan pengguna,’’ katanya ketika mengadakan lawatan ke parkir pusat membeli-belah Plaza Gurney di sini baru-baru ini.

Lawatan tersebut adalah ekoran maklum balas beberapa pihak yang mempertikaikan keselamatan di kawasan parkir pusat membeli-belah berkenaan sebelum ini. Melalui lawatan, pemantauan dan penjelasan yang diberikan, Ah Teong menyatakan bahawa beliau berpuas hati dengan tahap keselamatan dipraktikkan di sini.

Turut hadir, Ketua Kejuruteraan, Rekabentuk, Teknologi dan Servis Capital Mall Malaysia, Ibrahim Ahmad dan Pengarah Operasi Plaza Gurney, Yeoh Kim Bock.

Dalam pada itu, menurut Kom Bock, selain dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) berkualiti, seramai 30 pengawal turut bertugas pada satu-satu masa bagi menjaga bangunan dua blok tujuh tingkat terbabit.

“CCTV di sini mampu ‘mengawal’ keseluruhan sudut kawasan parkir. Ia dioperasikan dengan sudut berubah-ubah seperti tunduk, dongak, pusing ke kiri, kanan dan zoom dalam jarak jauh,’’ jelas beliau.

Katanya lagi, pada tahun ini, sebanyak dua kes kehilangan motosikal sahaja dilaporkan di sini ekoran kecuaian penunggang sendiri yang meninggalkan kunci kenderaan di motorsikal masing-masing.

YEOH Kim Bock (tengah) menunjukkan cara pengawal keselamatan membuat tandaan meronda sambil diperhatikan Ong Ah Teong (kiri sekali) ketika mengadakan lawatan ke parkir pusat membeli-belah Plaza Gurney di sini baru-baru ini.
YEOH Kim Bock (tengah) menunjukkan cara pengawal
keselamatan membuat tandaan meronda sambil diperhatikan
Ong Ah Teong (kiri sekali) ketika mengadakan lawatan ke parkir
pusat membeli-belah Plaza Gurney di sini baru-baru ini.