MPPP tekad tanam semula pokok tempatan, Bucida Tikus

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini mengisytiharkan Tanah Lapang di Jalan Penang di sini sebagai Taman Poket (Pocket Park) kelima yang diwujudkan di sekitar bandar dalam usahanya menjadikan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Sejumlah RM5,870 diperuntukkan pihak Majlis bagi Projek Pengindahan dan Penghijauan di kawasan tersebut yang turut ditanam dengan 16 batang pokok terdiri daripada jenis Dispyrus Boxifolia, Aglaia Korthalsii dan Tristaniopsis Whiteana.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, terdapat sejenis pokok yang akan diperkenalkan semula iaitu Bucida Tikus yang mana ianya adalah berasal dari Pulau Pinang.

“MPPP dalam usaha mencari semula sejenis pokok yang dikenali sebagai Bucida Tikus yang dipercayai berasal dari negeri ini (Pulau Pinang).

“Kita (MPPP) akan mencari semula pokok ini di luar dan bawa masuk untuk ditanam semula di sini (Pulau Pinang) sebagai usaha memperkenalkannya semula,” ujarnya pada Projek Pengindahan dan Penghijauan Tanah Lapang Jalan Penang baru-baru ini di sini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Pengarah Rekreasi, Pelancongan Dan Perhubungan Antarabangsa, Mohamed Akbar Mustapha, Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Addnan Mohd Razali dan Ahli Majlis MPPP.

Tambah Kon Yeow, harapannya agar lebih banyak Taman Poket atau Taman Kejiranan akan diwujudkan di Pulau Pinang untuk manfaat bersama.

“Kawasan ini amat terkenal khususnya dalam kalangan warga emas dan pelancong pada waktu petang dan malam untuk bersantai serta berehat.

“Malah, lokasinya yang berhampiran dengan deretan kedai membeli-belah akan menjadikan ia tempat singgahan kelak,” ujar beliau.