iCYCLE bakal diperluaskan ke arah Seberang Perai rendah karbon dan pintar

 

BUKIT TAMBUN – Ke arah menjadikan Seberang Perai sebagai sebuah bandar rendah karbon dan pintar pada tahun 2022, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal memperluaskan projek iCYCLE iaitu Kitar Semula Pintar mulai tahun 2019, ujar Dato’ Sr. Rozali Mohamud.
Rozali yang merupakan Yang di-Pertua MPSP menyatakan bahawa aplikasi tersebut dibangunkan syarikat iCYCLE Malaysia dengan kerjasama MPSP bagi merealisasikan misi dan visi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
“Satu rumah akan diberi satu bar code, pemilik akan ikat sampah (kitar semula) masing-masing, bawa ke pusat sumber (alam sekitar) dan di pusat sumber, gunakan telefon pintar untuk imbas bar code, dari situ akan diketahui siapa pemilik sampah kitar semula tersebut.
“Dari situ, markah (point) akan disimpan, pemilik yang sudah mempunyai point yang banyak boleh ke laman sesawang iCYCLE untuk menebus dengan memuat turun baucar tunai. Ia kemudian boleh digunakan untuk membeli barangan dari kedai terpilih atau memperoleh hadiah,” jelasnya pada sidang media sejurus merasmikan Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Tangling, Simpang Ampat dekat Lorong Belibis 15 di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik, Ahli-ahli Majlis MPSP dan pimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.
Menurut Rozali, program tersebut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila telah mencatatkan pendaftaran.
“Seramai 90 umum telah mendaftar dengan iCYCLE di Taman Belibis, Taman Bagan Lalang (174) – yang mana kumpulan ini menumpukan kepada jenis sampah pembuangan makanan dan Permatang Nibong (55),” ujarnya.
Justeru, MPSP mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai projek iCYCL dengan mendaftar di laman sesawang www.icycle.com atau datang ke pusat sumber alam sekitar terdekat.
Difahamkan, projek iCYCLE julung kali dimulakan di Seberang Perai Utara (SPU) pada Jun 2018, dan Taman Tangling merupakan kawasan pertama bagi Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).
Dalam pada itu, Choon Aik ketika berucap mengingatkan bahawa mulai Januari 2019, penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tambun perlu lebih serius menjalankan pengasingan sisa di punca.
“Kita telah adakan program kesedaran… bagi saya sudah cukup lama, jika ada yang dikompaun oleh MPSP, saya tidak akan layan lagi tuntutan tersebut,” katanya.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD