Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
SEBERANG JAYA – Selepas tujuh tahun mengalami defisit sebanyak RM230 juta sebelum 2008, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM4.15 juta pada tahun 2012, RM2.74 juta (2013) dan RM0.17 juta (2014).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, tadbir urus berdasarkan ‘Outcome-Based Budgeting’ atau Belanjawan Berasaskan Hasil (OBB) dalam tadbir urus kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan diharap mampu mengekalkan rekod surplus tersebut.
“Daripada membina tiang bendera paling tinggi di dunia dengan RM1 juta, lebih baik membelanjakan peruntukan itu untuk membina jalan raya.
“Yang dimaksudkan dengan ‘Outcome-Based Budgeting’ di sini adalah membelanjakan dana pada suatu projek yang lebih memberi impak kepada rakyat,” ucapnya pada Majlis Angkat Sumpah dan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MPSP 2016 di sini baru-baru ini.
Majlis yang dilangsungkan di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini turut disertai Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran MPSP).
Hampir semua Exco Kerajaan Negeri menyertai majlis tersebut.
Mengulas mengenai OBB, Guan Eng memberitahu bahawa MPSP sanggup mengambil alih 100 peratus pengurusan pembersihan sisa pepejal pada tahun 2015 sungguhpun terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi, kerana langkah itu akan memberi peluang kerja awam kontrak kepada warganegara sahaja.
“Berbanding tahun 2011, memang kita terpaksa menanggung kos lebih 50 peratus apabila mengambil alih 100 peratus pengurusan sisa pepejal, tetapi itu lebih memberi impak kerana semua pekerja am kontrak adalah warganegara, bukan lagi buruh asing.
“Inilah yang dimaksudkan dengan ‘Outcome-Based Budgeting‘ iaitu perbelanjaan yang kita (MPSP) buat turut memberi manfaat kepada warganegara, bukan lagi pekerjapekerja asing daripada syarikat swasta yang dilantik oleh MPSP,” jelasnya.
Direkodkan, kos pembersihan 2011 termasuk dengan pengambilan buruh asing secara kontrak keseluruhannya sebanyak RM48,668,435.
Selepas MPSP mengambil alih pengurusan sisa pepejal dengan 100 peratus pekerja am kontrak bertaraf warganegara, kos meningkat sebanyak 54.5 peratus atau kira-kira RM26,546,363 menjadi keseluruhannya berjumlah RM75,214,797.
Sebelum itu Maimunah mendedahkan bahawa Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bagi projek pembangunan hartanah diluluskan MPSP pada tahun 2012 adalah berjumlah RM2,512,956,400, diikuti RM1,669,385,182 (2013) dan RM483,880,000 (2014).
“Bagi tempoh Januari hingga November 2015 pula, GDV 2 yang dihasilkan berjumlah RM826,300,000,” ujarnya.
Di bawah Kerajaan Negeri era Barisan Nasional sebelum tahun 2008 dahulu, MPSP mencatatkan defisit selama tujuh tahun berturut-turut, kirakira RM230 juta.
Sementara itu, Dr. Amar Pritpal Abdullah, 57, yang baru dilantik menjadi ahli majlis semasa ditemui kemudian memberitahu bahawa beliau akan memberi fokus terhadap ‘9 Fokus MPSP 2016’.
“Fokus saya, kebersihan dan mengadakan aktiviti rakyat, termasuk menyediakan kemudahan sukan,” jelasnya yang juga merupakan doktor perubatan di sebuah klinik swasta di Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan (SPS).
Seorang lagi ahli majlis baharu dilantik, Ong Jing Cheng, 32, memberitahu bahawa beliau akan bekerjasama dengan agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) serta Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dalam memperkuasakan upaya komuniti.
“Saya akan meneruskan projekprojek yang telahpun dijalankan oleh Kerajaan Negeri seperti Bajet Responsif Gender (GRB) di Flat Ampang Jajar umpamanya.
“Di sini, saya akan teruskan agenda memperkuasakan rakyat dalam menentukan keutamaan belanjawan peringkat PBT seperti sebelum ini,” katanya yang juga bekas pemimpin mahasiswa.