BUKIT MERTAJAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal menguatkuasakan zon larangan menjaja terhadap para peniaga yang didapati menjalankan perniagaan di kawasan diwartakan (kawasan larangan berniaga) mulai tahun depan.
Yang DiPertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, sejajar dengan matlamat MPSP untuk mewujudkan kawasan lebih bersih dan teratur, para peniaga diwajibkan mematuhi peraturan ditetapkan.
“Jika terdapat peniaga berniaga di kawasan yang diwartakan, mereka (peniaga) akan diberi notis untuk mengosongkan tempat tersebut.
“Bagi kawasan diwartakan pertama adalah di Bandar Perda bermula dari simpang restoran makanan segera, McDonald (bersebelahan Politeknik Seberang Perai) di sepanjang Jalan Perda Utama sehingga lampu isyarat Balai Polis Perda, sebahagian Jalan Perda Barat yang bermula dari Masjid Perda ke bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Bagi kawasan kedua adalah membabitkan lokasi di Bandar Sunway merangkumi Jalan Todak yang bermula dari Jalan Todak 5 hingga Lebuhraya Butterworth – Kulim dan Jalan Todak 2, 3 , 4 dan 5.
“Di Bandar Butterworth adalah di jajaran Jalan Bagan Luar dan jalan sekeliling Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi.
“Begitu juga, Zon Perindustrian Bebas Perai dan Penang Science Park yang turut diwartakan,’’ katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh Majlis Penuh MPSP di sini baru baru ini.
Menurut Maimunah, MPSP akan menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan di lokasi-lokasi dinyatakan dan disarankan peniaga ‘terlibat’ dapat hadir temuduga terbuka kompleks makanan bagi pengisian ruang niaga MPSP secara sah.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, MPSP kini giat melaksanakan operasi waran tahanan ke atas pembayar cukai yang masih gagal menjelaskan cukai taksiran dalam tempoh yang telah ditetapkan.