MPSP laksana projek penanaman padi model pengurusan ekologi yang lebih mesra alam

Admin

PENANTI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) melaksanakan projek penanaman padi model pengurusan ekologi yang lebih mesra alam.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, langkah tersebut merupakan usaha ke arah memperkenalkan teknologi pengurusan pengeluaran padi organik yang bersih, halal, cekap tenaga dan selamat.

Kampung Permatang Nibong dipilih sebagai lokasi bagi program penanaman padi model pengurusan ekologi yang lebih mesra alam.

“Projek ini juga dapat melestarikan peningkatan penghasilan padi dan pendapatan serta  kesihatan petani, komuniti setempat dan pengguna amnya.

“Strategi pertanian padi mesra alam yang dicadangkan ini menekankan perlindungan tumbuhan dan peningkatan produktiviti melalui kecekapan penjimatan sumber dengan penggunaan kaedah semula jadi bagi menggantikan amalan penanaman konvensional,” katanya semasa merasmikan program Menuai Padi Petak Model Pengurusan Ekologi dekat Pejabat Koperasi Kerjaya Permatang Nibong, di sini pada 9 September lalu.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa Kampung Permatang Nibong dipilih untuk melaksanakan projek berkenaan melalui lima fasa iaitu taklimat pengenalan projek, sesi bengkel latihan petani, projek perintis di sawah petani, penanaman dan penjagaan padi serta latihan tuaian.

“Projek ini secara langsung dapat menjadi pemacu strategi pertanian organik lebih lestari ke arah ekonomi hijau dan apabila ia berjaya kelak.

“Malah, ia juga berpotensi menjana usaha serta inovasi baru yang lain khasnya produk hiliran dan sampingan termasuklah produk agro dan eko-pelancongan,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MPSP