SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melancarkan Kad Recycle For Life (RFL) sebagai langkah mencapai sasaran 70 peratus kadar kitar semula menjelang tahun 2022.
Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program dengan kerjasama Syarikat E-Idaman Sdn. Bhd. tersebut bertujuan untuk menggalakkan amalan kitar semula dan mendidik kakitangan MPSP bahawa barangan kitar semula juga mampu menghasilkan pendapatan.
“MPSP merupakan organisasi pertama di negara ini yang mempunyai kad pintar RFL yang teramai iaitu seramai 3,539 pekerja yang telah mendaftar untuk mendapatkan kad ini.
“Justeru, mulai Mac, jualan bulanan barangan kitar semula di MPSP akan menggunakan kaedah jualan sistem RFL.
“Melalui sistem ini, hasil jualan (RM) akan dimasukkan ke dalam Kad RFL dan nilai ringgit yang dikumpul boleh digunakan untuk membeli barangan di Pasaraya Econsave, Pasaraya Giant, Kedai KOSPEMA, kafetaria MPSP, pembayaran bil Syarikat Air Darul Aman (SADA), Pasar Raya Yawata Jitra dan beberapa restoran terpilih,” katanya semasa melancarkan kad berkenaan dekat Ibu Pejabat MPSP sebentar tadi.
Turut serta, Ahli-Ahli Majlis dan Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn. Bhd., Ir. Mhd. Saiful Anuar Zainal; Ketua-Ketua Jabatan serta Pegawai-Pegawai Kanan MPSP.
Mengulas lanjut, Rozali berkata, pihaknya juga bercadang untuk mengembangkan program tersebut ke peringkat sekolah, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta komuniti Seberang Perai.
“Barangan kitar semula yang dikumpul boleh di hantar ke Pejabat MPSP kerana pihak E-Idaman akan datang menimbang dan mengambil barangan ini setiap sebulan,” katanya lagi.
Sementara itu, Saiful Anuar menjelaskan, nilai ringgit yang dikumpul boleh dibelanjakan di mana-mana pasar raya dan restoran terpilih dengan maksimum perbelanjaan adalah sebanyak RM200 sehari.
“Nilai hasil di dalam kad tidak ada had tetapi untuk berbelanja hanya dibenarkan RM200 sehari mengikut ketetapan pihak Bank Negara Malaysia (BNM).
“Namun, pada masa akan datang kita akan cuba memohon dengan BNM untuk tingkatkan maksimum perbelanjaan sebanyak RM1,500,” ujarnya.
Difahamkan, di Pulau Pinang hanya Pasar Raya Giant menyediakan kemudahan pembayaran menggunakan Kad RFL setakat ini.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS