Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
PERDA – Seramai 24 orang termasuk empat muka baru dimahsyurkan dalam Upacara Pengakuan Menerima Jawatan Sebagai Ahli Majlis MPSP 2012 di Bandar Perda di sini.
Istiadat tersebut dilangsungkan di depan Ketua Menteri Pulau Pinang,Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, Datuk Mansor Othman (Timbalan Ketua Menteri I), Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Lalu Lintas), Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Puan Maimunah Mohd. Sharif (Yang DiPertua MPSP) sendiri. Soon Lip Chee, Teoh Seang Hooi, Chandrasekaran a/l S.Maniam, Loh Joo Huat, Ong Koon Liak, Sim Chee Keong, K Visvanathan mengisi senarai pendahulu dari DAP yang dilantik sebagai ahli majlis.
DAP turut mengetengahkan tiga muka baru lain sebagai ahli majlis, iaitu Tan Xin Ying, Mohd. Shaipol Ismail dan S. Gunalan.
PKR pula mengekalkan senarai ahli majlis sesi lepas. Mereka, Johari Kassim, Ahmad Farid Md. Arshad, Kusala Kumari @ Rynu a/l A Shanmugan, Amir Ghazali, Lim Eng Nam, Abdul Latif Abdullah, Baktiar Apandi Yahya, Aarina Hashim dan Mohamad Zainudin Othman.
Dua ahli majlis, Md. Jamil Abd. Rahman dan Ahmad Kaswan Kasim pula mewakili PAS.
Tiga lain mewakili badan bukan kerajaan (NGO). Mereka, Lim Tau Hoong, Dr. Tiun Ling Ta dan seorang lagi muka baru bernama Admad Tarmizi Abdullah.
Oon Neow Aun, Tan Cheai Peng, Ramachandran a/l M.Mutiah dan Ideris Ibrahim antara nama yang tidak dilanjutkan pelantikan sebagai ahli majlis, tetapi dihargai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas sumbangan meningkatkan kualiti hidup rakyat di Seberang Perai.
Guan Eng ketika menyampaikan ucaptama berkata, MPSP seharusnya melaksanakan budaya kerja integriti dan pintar demi merealisasikan impian Seberang Perai sebagai bandar pintar bertaraf antarabangsa.
“Kerja kuat sahaja tidak cukup. Kita mesti kerja secara amanah dan secara pintar serta mesti untuk kepentingan awam (rakyat).
“Kerja keras, kerja beramanah dan kerja pintar. Saya percaya ekspektasi Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) walaupun begitu tinggi tetapi mampu direalisasikan oleh MPSP.
“Negeri ini mampu dijadikan sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa (supaya) Pulau Pinang (menjadi) harapan Malaysia,” ujarnya di Dewan Kenangah, Kompleks MPSP Bandar Perda, di sini.
Hadir sama di majlis penuh istiadat tersebut antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Saleh Man, Lydia Ong Kok Fooi (ADUN Berapit) dan Ong Chin Wen (ADUN Bukit Tengah).