MPSP perluas penggunaan mesin kompos EFWC ke restoran

SEBERANG JAYA – Mesin kompos Economical Food Waste Composter (EFWC) yang diinovasikan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  kini diperluaskan penggunaannya di premis-premis makanan.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama bersama Restoran De’ Pauh Garden dengan mewujudkan sebuah pusat kompos sebagai salah satu usaha pihaknya untuk mengurangkan penghasilan sampah dari sisa-sisa makanan.

Demonstrasi penggunaan mesin EFWC bagi memproses sisa makanan menjadi kompos.

“Penggunaan mesin kompos EFWC merupakan salah satu kaedah dalam pengurusan sisa makanan dan menukarkannya kepada satu bahan yang memberi faedah iaitu baja kompos.

“Pihak pengurusan Restoran De’ Pauh Garden telah menunjukkan komitmen yang baik dengan membeli mesin ini untuk membantu dalam proses penghasilan kompos daripada sisa-sisa buangan dapur restoran berkenaan.

“Untuk peringkat permulaan, MPSP akan sentiasa Bersama-sama pihak (pengurusan) restoran untuk menambah baik kaedah pengkomposan dan meningkatkan keupayaan mengurus sisa makanan dengan lebih efektif,” katanya semasa merasmikan pusat kompos dekat restoran berkenaan pada 19 Januari lalu.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Pengarah Urusan Restoran De’ Pauh Garden, Mohd. Rodzi Abu Bakar; Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan MPSP serta ramai lagi.

Kompos yang berjaya dihasilkan menggunakan sisa makanan.

Difahamkan, Restoran De’ Pauh Garden merupakan restoran pertama di Seberang Perai menggunakan mesin EFWC yang berharga RM3,200 seunit bagi menguruskan sisa makanan untuk dijadikan kompos.

Justeru, Rozali menyeru agar lebih banyak komuniti peniaga setempat untuk mengambil inisiatif sama dengan mengamalkan pengkomposan sisa makanan bagi membantu mengurangkan penjanaan sampah ke tapak pelupusan sekaligus menjadikan sisa sifar sebagai gaya hidup.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan dan pekerja-pekerja Restoran De’ Pauh Garden yang memberi komitmen penuh dalam program kompos sisa makanan serta membantu MPSP menjaga Seberang Perai supaya lebih bersih dan cantik,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MPSP