Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD
SEBERANG PERAI – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif mensasarkan kesemua premis makanan di Seberang Perai dapat mencapai tahap kebersihan dan keselamatan Gred ‘A’ dalam waktu yang terdekat ini.
Maimunah berkata demikian pada Majlis Perasmian Bengkel Peningkatan Tahap Kebersihan dan Keselamatan Premis Makanan di ibu pejabat MPSP di sini baru-baru ini.
“Sasaran Kebersihan Persekitaran yang dibuat ini adalah selari dengan enam aspek utama Fokus MPSP 2013. “Pelbagai perancangan, pendekatan dan aktiviti dijalankan MPSP dan Kerajaan Negeri demi menjaga kesihatan penduduk negeri ini,” jelasnya.
Turut hadir, Setiausaha Majlis bagi MPSP, Sr. Rozali Mohamud, Dr. Romli Awang (Pengarah Perkhidmatan Kesihatan MPSP), Dr. Rafidah Mohd. Noor (Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah) dan pengusaha-pengusaha premis makanan yang dijemput.
Menurut Maimunah, MPSP mengambil berat tahap kebersihan premis makanan berikutan terdapat kes kematian yang menggemparkan negara suatu ketika dahulu akibat keracunan makanan berpunca daripada masakan tercemar.
“Kebersihan premis makanan memerlukan komitmen penglibatan komuniti dan juga kesedaran pengusaha dan pelanggan restoran
. “Jarang sekali kita dengar premis yang bersih jadi pilihan utama pengunjung…sikap dan tanggapan bahawa ‘asalkan sedap, premis kotor pun tidak mengapa’ telah menjadi budaya masyarakat kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Maimunah turut memberitahu bahawa pengusaha premis makanan yang hadir merupakan daripada mereka yang mendapat Gred penilaian ‘C’.
“Pengusaha-pengusaha ini dijemput sebagai salah satu langkah MPSP membantu pihak terbabit mencapai gred yang lebih baik, khususnya dari aspek kualiti, keselamatan dan pengendalian makanan selamat.
Walaupun kehadiran tidak mencapai sasaran, MPSP berharap pengusaha- pengusaha makanan ini dapat mengaplikasikan pengetahuan daripada bengkel ini pada masa akan datang,” jelas beliau.
Tambahnya, berdasarkan tujuh rekod Ops Premis Bersih bermula dari bulan Ogos hingga November lalu, sebanyak 220 premis makanan diperiksa di sekitar Seberang Perai.
Daripada jumlah itu, sebanyak 35 premis ditutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan sebanyak 125 kompaun telah dikeluarkan.
“Kebanyakan premis yang mendapat Gred ‘A’ adalah premis francais seperti restoran makanan segera, McDonalds dan Pizza Hut.
“Diharap restoran-restoran ini dapat dijadikan contoh kepada pengusaha premis makanan tempatan,” seru Maimunah.