MPSP sasar tingkat pendapatan penduduk melalui kitar semula

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD


PERMATANG NIBONG – Penganjuran Bengkel Kitar Semula Kreatif kepada penduduk sekitar oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) adalah bertujuan mempercepatkan usaha menjadikan Pulau Pinang khususnya Seberang Perai lebih Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat di sini baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud, bengkel tersebut bertujuan melatih penduduk menggunakan semula bahan buangan dan menjadikan ia mempunyai nilai pasaran.

“Peserta bengkel akan dilatih oleh tiga pengajar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Filipina, Kilus Foundation Philippine yang
dibawa melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat pengurusan sisa dan industri alam sekitar, SVAC Virogreen Sdn. Bhd. (SVAC).

“Mereka akan mengajar dan melatih peserta bengkel untuk menjahit, menganyam atau memanikkan bahan buangan dari kertas, plastik atau doy pack untuk dijual semula,” katanya pada Majlis Perasmian Bengkel Kitar Semula Kreatif di sini baru-baru ini.

Bengkel tersebut berlangsung selama 14 hari dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan jam 9 malam hingga 11.30 malam setiap hari. Para peserta diberikan sijil penyertaan setelah tamat latihan.

Sehingga kini, MPSP berjaya menubuhkan tiga Pusat Sumberc  Alam Sekitar, komuniti kebun kejiranan (6), komuniti sifar (8), sekolah sifar (32) dan sekolah hijau (84).

Tambah Rozali, usaha penduduk menubuhkan Koperasi Perusahaan Hijau Permatang Nibong adalah selari dengan hasrat MPSP untuk mewujudkan komuniti sisa sifar.

“Penubuhan koperasi ini adalah bagi memastikan kemampanan program dianjurkan.

“Ia akan menjadi ejen pemasaran bahan-bahan dihasilkan penduduk dan sekaligus meningkatkan pendapatan serta menjadikan negeri ini kemiskinan sifar,” ujar beliau.

Hadir sama, Pengarah Urusan SVAC, K. Moorthi dan dua ahli majlis MPSP, Abdul Jalil Che Ros dan Tan Cheong Heng.

Dalam pada itu, Moorthi turut menyerahkan alat pencerna biogas kepada komuniti Permatang Nibong bagi mencerna sisa-sisa bahan basah kepada sumber gas masakan.

“Alat pencerna ini dapat menghasilkan gas masakan selama dua jam hanya dengan 2.5kilogram sisa bahan basah,” ujar Rozali.