MPSP sedia bantu peniaga

Admin

 

JURU – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bersetuju membantu para peniaga memohon lesen dan memberi khidmat nasihat berhubung penyambungan semula premis bagi membolehkan golongan terbabit berniaga semula selepas operasi perobohan besar-besaran gerai haram baru-baru ini.

Ahli Majlisnya, M. Ramachandran berkata, pihaknya bersedia dan bersetuju membantu para peniaga yang terbabit di dalam operasi berkenaan.

MPSP akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu peniaga-peniaga yang sebelum ini berniaga di premis haram,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, pengusaha kedai gunting, P. Arunaselam, 63, berkata dia bersedia untuk keluar dari premis sedia ada jika MPSP menyediakan kawasan perniagaan baru.

“Kami harap MPSP dapat mencari jalan penyelesaian terbaik iaitu mencari tapak perniagaan baru buat kami. Kami sedia berpindah jika kawasan baru disediakan,” katanya yang sudah enam tahun berniaga di kawasan itu.

Pengusaha kedai telekomunikasi, Lee Wan Chiah, 21, melahirkan harapan supaya MPSP membina bangunan kedai baru untuk dijadikan sebagai tapak perniagaan baru.

“Saya sememangnya bersedia dan akur dengan arahan berpindah ke kawasan baru,” katanya.

Low Choon Heng, 48, yang sudah 12 tahun berniaga menjual barang makanan mentah, memohon supaya dibenarkan terus beroperasi kerana tidak mempunyai sumber pendapatan lain.

Operasi merobohkan gerai dan premis perniagaan yang dibina secara haram di kawasan terbabit kecoh apabila pemilik-pemilik premis bertindak menyerang seorang penguatkuasa MPSP.