MPSP serius tangani masalah lalulintas

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

PASUKAN Penguatkuasa MPSP sedang menjalankan operasi mengunci tayar kenderaan yang menghalang lalulintas di sekitar daerah Seberang Perai.
PASUKAN Penguatkuasa MPSP sedang menjalankan operasi mengunci tayar kenderaan yang menghalang lalulintas di sekitar daerah Seberang Perai.

SEBERANG PERAI – Bagi kepentingan bersama pengguna jalan raya, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) serius dalam menangani kes-kes salah laku trafik yang memperlihatkan sebanyak 2,753 kompaun telah dikeluarkan melibatkan kutipan sebanyak RM137,650 bermula awal tahun sehingga 17 November 2011.

Lanjutan itu, di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), sebanyak 40 zon kunci tayar yang menempatkan papan tanda ‘Dilarang Meletak Kenderaan’ telah dibuat membabitkan lokasi Megamall (9), Bandar Sunway (11), Pekan Bukit Mertajam (14), Taman Chai Leng (3), Bandar Perda (2) dan Taman Inderawasih
(1).

Manakala bagi daerah Seberang Perai Utara (SPU), sebanyak 11 kawasan terlibat iaitu Jalan Bagan Luar (3) dan Taman Selat (8). Tiada zon kunci tayar bagi daerah Seberang Perai Selatan (SPS) buat masa ini.

Ahli Majlis MPSP, Soon Lip Chee berkata, pihak MPSP telah meletakkan papan tanda seperti ‘Dilarang Meletak Kenderaan’ dan ‘Zon Kunci Tayar’ di beberapa kawasan sekitar Seberang Perai, namun, masih ramai yang berdegil.

“Tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab membuatkan pengguna jalan raya yang lain menghadapi kesukaran disebabkan kesesakan. Apabila ditanya, pelbagai alasan diberi termasuk kesukaran mencari tempat meletak kenderaan di kawasan tersebut,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Justeru, Lip Chee menyatakan bahawa satu kajian sedang dijalankan bagi mengenalpasti tempat-tempat yang harus dijadikan zon kunci tayar ekoran terdapat banyak aduan daripada orang ramai mengenai kenderaan yang diletakkan di tepi jalan yang tidak sepatunya terutama di kawasan pusat perniagaan baru.

“Siasatan mendapati, pemilik meletakkan kenderaan sesuka hati berhampiran premis perniagaan mereka. Hal ini sangat mendukacitakan orang ramai dan pihak MPSP kerana sikap mereka yang tidak bertanggungjawab dan hanya memikirkan kepentingan diri sendiri semata-mata,’’ tegas beliau.

Oleh itu, MPSP menyeru agar orang ramai lebih prihatin dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar perbuatan tersebut dapat dikekang sekaligus melancarkan perjalanan trafik untuk kepentingan semua pihak.