MPSP serius tangani masalah sepanduk haram

Admin

 

SEBERANG PERAI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memandang serius isu berkaitan sepanduk-sepanduk haram yang semakin berleluasa di sekitar kawasan Seberang Perai.

Pihak MPSP sebelum ini pernah mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menggantung sepanduk tanpa memohon lesen terlebih dahulu.

Namun, pihak tersebut masih tidak serik dan memandang remeh tindakan yang telah dikenakan terhadap mereka. Malah, isu penggantungan sepanduk haram semakin serius menular di kawasan Seberang Perai terutama di kawasan perumahan dan kawasan perindustrian. Ini bertujuan menggalakkan penduduk yang mengalami masalah kewangan mendapatkan pinjaman haram daripada ‘ahlong’.

Menurut jurucakap MPSP, penggantungan sepanduk haram berubah-ubah mengikut musim. Contohnya dahulu mereka menggunakan pelekat bagi mengiklankan kegiatan haram, tetapi kini, dengan teknologi yang semakin moden, penggunaan pelekat telah digantikan dengan penggunaan sepanduk dan banting (selalunya digantung pada tiang-tiang lampu).

Kebanyakan sepanduk, banting atau pelekat adalah daripada pihak yang terlibat dengan perniagaan haram. Mereka yang terlibat dengan kegiatan haram ini tegar dengan membelakangi undang-undang dan tidak menghiraukan akibat yang bakal menimpa mereka kelak.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh MPSP, lebih kurang 61% sepanduk yang telah diturunkan berkaitan dengan pinjaman haram. Mengikut undang-undang, selain daripada bank, sesiapa yang ingin menjalankan perniagaan pinjaman harus berdaftar dengan Bank Negara. Jelas sekali bahawa aktiviti ‘ahlong’ adalah haram dari segi undang-undang.

Pihak MPSP telah banyak menerima aduan daripada penduduk setempat berkenaan penggantungan sepanduk-sepanduk haram ini. Inisiatif telah diambil oleh pihak MPSP dengan menurunkan serta merta sepanduk-sepanduk tersebut. Tindakan ini bertujuan menjaga kepentingan dan hak penduduk di sekitar Seberang Perai agar tidak terpengaruh dengan iklan yang dipamerkan.

Selepas sepanduk-sepanduk ini diturunkan, pihak MPSP akan mengambil maklumat berkaitan dan menyerahkan kepada pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut.

MPSP mengharapkan kerjasama dari semua pihak terutama penduduk tempatan agar menyalurkan maklumat berkaitan sepanduk haram kepada ahli majlis dan menasihat agar orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan iklan yang menjanjikan pulangan lumayan terutama pinjaman haram ‘ahlong’.