MSAM 2023 tekankan STEM, selari Visi Penang2030

Admin

BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik dan mengalu-alukan penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pulau Pinang yang disifatkan selari dengan gagasan Visi Penang2030.

 

 

Menurut beliau, selain mempupuk literasi kewangan di usia muda, MSAM pada kali ini turut memberi penekanan kepada pendekatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

 

“MSAM 2023 bukan sahaja fokus untuk mendidik pengurusan kewangan dan pelaburan di peringkat awal usia, malah turut memberi perhatian khusus kepada elemen STEM serta agenda kelestarian.

 

 

“Kedua-dua agenda ini adalah selari dengan Visi Penang2030 yang dilancarkan pada Ogos 2018, yang bukan sahaja memberi penekanan terhadap pembangunan institusi kekeluargaan, malah turut merangkumi aspek negeri hijau dan pintar sebagai hala tuju dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

 

 

 

“Saya juga berasa sukacita untuk memaklumkan bahawa walaupun negeri ini merupakan sebuah negeri yang kecil, Pulau Pinang kini berada pada kedudukan ketiga teratas dalam senarai purata pelaburan unit amanah PNB di seluruh negara dengan jumlah pelabur seramai kira-kira 714,000 yang telah melanggan lebih 14.3 billion unit,” ucap Kon Yeow pada Majlis Perasmian MSAM 2023 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim di Setia Fontaines, Bertam dekat sini petang tadi.

 

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Yang Mulia Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Seri Awang Adek Hussin serta dif-dif kehormat yang lain.

 

 

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memaklumkan bahawa ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM112.1 bilion sekaligus menjadikan negeri ini diiktiraf sebagai negeri dengan pertumbuhan ekonomi paling tinggi dalam negara.

 

 

 

“Namun begitu, masalah kekurangan bakat dalam bidang kejuruteraan dan teknikal masih perlu diberikan perhatian khusus yang mana ia telah menimbulkan kebimbangan bukan sahaja kepada pemain industri malah juga pihak Kerajaan Negeri khususnya.

 

 

 

“Justeru, sebagai usaha dalam menangani dilema tersebut, Kerajaan Negeri bersama-sama beberapa institusi negeri berasaskan STEM telah mempergiatkan usaha dalam menyediakan peluang pembelajaran teknikal serta akademik dalam bidang yang berkenaan bukan sahaja di Pulau Pinang, malah juga di negeri-negeri lain.

 

 

“Sebagai contoh, sebuah program yang sedang berjalan iaitu Girls in STEM oleh Penang Science Cluster (PSC) yang mengadakan bengkel sains dan teknologi kepada remaja-remaja perempuan di sekolah dan komuniti luar bandar bukan sahaja dijalankan di Pulau Pinang, tetapi juga enam negeri dalam negara iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak bagi menggalakkan serta menyediakan peluang yang saksama sekaligus meningkatkan akses golongan wanita kepada peluang-peluang pekerja dalam bidang sains serta teknologi bukan sahaja di Malaysia malah juga seluruh dunia,” katanya yang juga ADUN Padang Kota.

 

 

Anwar dalam pada itu menekankan bahawa guru turut memainkan peranan penting dalam memberi tunjuk ajar berkenaan literasi kewangan sejak di bangku sekolah lagi.

 

 

 

“Pencerahan literasi kewangan ini perlu dimulakan sejak di peringkat sekolah dan pemilihan pelaburan adalah berasaskan kepada keutuhan organisasi seperti PNB dan bukannya berasaskan sentimen sahaja,” maklum Ahli Parlimen Tambun itu.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD