PANTAI JEREJAK – Penubuhan Persatuan Perniagaan Malaysia – Shaanxi atau Malaysia Shaanxi Business Council (MSBC) di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada 22 Februari lalu antara lain adalah bagi memperkukuhkan hubungan bilateral antara Pulau Pinang dan wilayah Shaanxi, China sedia ada kini.
Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, wilayah Shaanxi yang terletak di barat China merupakan ‘pintu masuk’ pasaran halal ke negara Tembok Besar itu.
“Hubungan antara Pulau Pinang dan Shaanxi bukan semata-mata untuk menembusi pasaran halal, malah juga untuk mempromosi serta mengembangkan lagi pelaburan dalam industri halal sedia ada antara kedua-duanya.
“(Dan) dengan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya percaya MSBC akan terus sama-sama membangunkan industri halal termasuk menyediakan khidmat nasihat produk, membuka ruang untuk pasaran tempatan dan memberi peluang pelaburan baharu,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Presiden MSBC, Datuk Joseph Kow dan Pengerusi Shaanxi Halal Food Chamber of Commerce (SHFCC), Tie Qun Ping.
alam pada itu, Joseph Kow menyifatkan bahawa penubuhan MSBC adalah tepat pada waktunya ekoran terdapat peningkatan permintaan produk pengguna berstatus halal bukan sahaja di China, malah seluruh dunia.
“Di wilayah Shaanxi, sejumlah 8 juta daripada 32 juta populasi adalah Muslim dan kerjasama antara MSBC dan SHFCC akan memberi peluang lebih luas dan mampu memastikan permintaan produk-produk halal dipenuhi,” jelasnya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana komited dalam memperkasakan industri halal ke seluruh dunia.