PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.3 juta daripada kos RM1.8 juta bagi merealisasikan Akademi Biliard dan Snuker (Wilayah Utara) bertempat di atas Hab Stesen Bas Bayan Baru.
Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, baki RM500,000 disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) bagi pembekalan peralatan termasuk meja-meja biliard dan snuker.
“Kita percaya bahawa sukan ini bukan hanya mampu melahirkan atlet berprestasi tinggi, tetapi juga berpotensi menjadi platform pembangunan sahsiah dan kemahiran golongan belia.
“Akademi ini bakal memberikan impak besar kepada anak muda dan atlet-atlet muda khususnya di Pulau Pinang di samping menjadi pusat latihan kondusif dengan program yang sistematik bagi untuk atlet mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.
“Sebagai langkah proaktif, saya berharap pihak Persatuan Biliard & Snuker Negeri Pulau Pinang dapat bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengenalpasti lebih ramai peajar berbakat, serta memberi sokongan kepada mereka agar potensi mereka dapat digilap sehingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya pada Majlis Perasmian Akademi Biliard dan Snuker Wilayah Utara di sini 25 April lalu.
Akademi tersebut dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh Tseow Suan.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar dan Presiden Persatuan Biliard dan Snuker Pulau Pinang, Dato’ Tan Cheong Heng.
Tseow Suan dalam merakamkan ucapan penghargaan kepada Pulau Pinang kerana menjadi antara negeri yang memberi maklum balas positif dalam menjayakan Sukan SEA Kuala Lumpur Ke-34 tahun 2027.
“Antara negeri lain yang turut memberi reaksi adalah Sarawak dan Johor, saya difahamkan Pulau Pinang juga bersedia menyalurkan dana RM15 juta dalam menjayakan temasya dwi tahunan tersebut,” katanya yang juga Ahli Parlimen Segambut, Kuala Lumpur.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD