MSNPP terima peruntukan RM10 juta untuk pembangunan sukan

Admin

BUKIT TAMBUN – Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) menerima peruntukan RM10 juta secara tahunan sejak tahun 2018 bagi memastikan pembangunan sukan negeri ini berada pada tahap terbaik.

 

Menurut Exco ‘Caretaker’ Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, pelbagai program turut dirangka sepanjang lima tahun beliau menjawat jawatan tersebut demi memastikan Pulau Pinang terus melahirkan atlet-atlet berkaliber kepada negeri dan negara.

 

 

“Pada tahun 2019, inisiatif Sukan Untuk Semua atau dikenali sebagai ‘Sports for All’ telah dilancarkan bertujuan untuk memupuk minat aktif dan sihat di masyarakat rakyat negeri Pulau Pinang dengan mengadakan 72 klinik sukan melibatkan 60,000 penyertaan.

 

“Beberapa acara sukan yang signifikan telah berlangsung dengan jayanya seperti Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019, Karnival Olimpik Komuniti Pulau Pinang 2022, Penang Fellowship Ride dan sebagainya.

 

“Penganjuran program Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019 dan Karnival Olimpik Komuniti Pulau Pinang 2022 juga telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai negeri pertama menganjurkan Karnival Olimpik Malaysia pada tahun 2019 dan 2022,” ujar Lip Chee dalam satu sidang media Pengumuman dan Laporan Pembangunan Sukan di Pulau Pinang dekat Stadium Batu Kawan di sini pagi tadi.

 

 

Hadir sama, Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua; Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP), Rashidah Jalaludin dan Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew Gim Eam.

 

 

Mengulas lanjut Lip Chee turut memamklumkan projek-projek serta inisiatif yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri termasuk peruntukan RM8.73 juta bagi membangun dan menaik taraf 92 gelanggang sukan awam, peruntukan RM20.8 juta kepada PSDKLPP, mewujudkan Pusat Akademi Sukan Elektronik Pulau Pinang (Esports Centre) serta Pusat Akademi Snooker dan Billiard.

 

 

Kerajaan Negeri dalam pada itu tidak ketinggalan menjaga kebajikan atlet melalui Penang Athlete Career & Education (PACE) membabitkan 194 atlet, mengkaji semula Elaun Atlet Skuad Latihan Sukan Malaysia (SUKMA), Atlet Elit dan Atlet Emas SUKMA 2024, Penang Junior Coaches.

 

 

“Satu lagi skim yang telah diperkenalkan untuk mendorong kemajuan persatuan dalam membangunkan sukan negeri bermula dari peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat tertinggi iaitu Skim Bantuan Pentadbiran dan Pengurusan (SBPP) dengan setiap persatuan sukan negeri yang dibawah naungan MSNPP akan dinilai dalam tempoh 12 bulan dan sebanyak RM900,000 telah diperuntukan kepada skim ini.

 

 

“Tidak lupa juga, Galeri Sukan (Sports Gallery) juga telah diwujudkan dengan objektif menyediakan satu ruangan khas untuk mempamerkan sejarah sukan dan tokoh-tokoh sukan kepada masyarakat umum, selain sebagai sebuah platform untuk menghargai dan mengiktiraf segala kejayaan para atlet yang telah mengharumkan nama negeri dan negara,” ujarnya lagi.

 

 

Pada sidang media sama, Rashidah memaklumkan PSDKLPP kini dalam rangka menaik taraf Stadium Bandaraya melibatkan skop kerja pendawaian elektrik, keselamatan kebakaran, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya.

 

 

“Tambahan daripada itu, PSDKLPP juga sedang merancang pembinaan Skate Park di Pokok Sena Seberang Perai Utara (SPU) dan kemudahan ini bersesuaian untuk latihan dan pertandingan.

 

 

“Tidak ketinggalan adalah pelaksanaan beberapa projek naik taraf kolam renang dan kerjasama dengan pihak swasta dalam sukan terbabit dalam membangunkan kemudahan berkaitan,” maklum Rashidah.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD