MSNPP, Universiti Okayama Shoka jalin kerjasama bangunkan sukan Judo

Admin

GEORGE TOWN – Atlet sukan Judo negeri selepas ini bakal mengorak langkah lebih cemerlang selepas Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) menjalinkan kerjasama dengan Universiti Okayama Shoka, Jepun baru-baru ini.

Memorandom Persefahaman Bersama (MoU) tersebut ditanda tangani pada 31 Mei lalu melibatkan Pengarah MSNPP, Frederick Tan Teck An dengan Presiden Universiti Okayama Shoka, Prof. Akio Ijiri yang berlangsung di negara matahari terbit tersebut.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee pada sidang media sebentar tadi memaklumkan bahawa, kerjasama tersebut membolehkan Kerajaan Negeri melalui MSNPP melaksanakan pembangunan sukan Judo serta memahami pembangunan sukan di negara Jepun.

“Melalui kerjasama ini, enam orang atlet negeri dan seorang jurulatih telah diberi kesempatan mengikuti program latihan di Universiti Okayama Shoka pada 23 Mei hingga 9 Jun lalu.

“Seperti yang diketahui umum, untuk Judo sememangnya negara Jepun adalah yang paling handal dalam sukan ini dan mereka juga mempunyai kemudahan sukan (Judo) bertaraf dunia.

“Jadi kita (Pulau Pinang) buka peluang untuk atlet-atlet muda ini belajar dan berlatih bersama-sama dengan mereka yang profesional,” ujarnya sambil menyatakan bahawa kunjungan tersebut sekali gus membuka peluang Kerajaan Negeri menjalinkan hubungan lebih erat dengan negara Jepun bukan sahaja untuk sukan Judo sebaliknya semua bidang sukan yang lain.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam merangkap Ahli Jawatankuasa MMK Belia dan Sukan dan Khoo Kay Chee (Penasihat Persatuan Judo Pulau Pinang merangkap Setiausaha Kehormat Persekutuan Judo Malaysia).

Mengulas lanjut mengenai kunjungan tersebut, Lip Chee memberitahu bahawa delegasi MMK Belia dan Sukan turut berkesempatan melakukan kunjungan hormat kepada Majlis Sukan Jepun, Okayama Sports Association, All Japan Juo Federation dan persatuan-persatuan sukan tempur di Jepun.

“Melalui kunjungan ini, kita dapat mempelajari bagaimana perancangan program sukan yang mampan di Jepun dilaksanakan bagi meningkatkan semangat sukan di semua lapisan masyarakat serta jalinan kerjasama di antara pihak swasta dengan kerajaan Jepun dalam pembangunan sukan melalui latihan, program mahupun infrastruktur.

“Penyediakan kemudahan dan penyusunan tempat latihan mengikut justifikasi serta keperluan untuk menjalin keselamatan atlet turut didedahkan termasuklah hal-hal pengurusan dan pentadbiran kemudahan, lokasi penganjuran, kompleks serta peralatan sukan yang lebih sistematik,” ujarnya lanjut.

Menurut Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal, Kerajaan Jepun telah melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memupuk semangat sukan dalam golongan masyarakatnya dan perkara sama akan cuba diterap serta dipraktikkan oleh Kerajaan Negeri untuk manfaat warga Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri akan memperluaskan lagi pelaksanaan program Sports For All dan kita akan jalinkan kerjasama dengan persatuan-persatuan sukan untuk menganjurkan klinik sukan bagi kanak-kanak supaya semangat kesukanan dapat dipupuk dari kecil.

“Jurulatih juga memainkan peranan penting dalan pembangunan sukan berprestasi tinggi, justeru mereka perlu meningkatkan pengetahuan dari semasa ke semasa dan yang paling penting kita akan bekerjasama dengan negara lain yang pakar dalam sains sukan untuk meningkatkan tahap sukan di Pulau Pinang,” ujarnya lanjut.