Muafakat dipupuk melalui sukan badminton

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

TELUK BAHANG – Ternyata Kejohanan Badminton Muafakat Balik Pulau 2012 bukan hanya berjaya mengumpulkan para belia yang sememangnya bergiat aktif dalam sukan badminton, malah, turut memperoleh maklum balas positif penduduk sekitar Kompleks Pasar Awam Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Balik Pulau untuk turut serta dalam kejohanan tersebut di sini baru-baru ini.

Menurut Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid, matlamat utama peganjuran tersebut bukan sahaja untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat, malah, juga bagi menggilap bakat-bakat baharu yang berkebolehan dalam arena badminton.

Tambah beliau, melalui sukan, masyarakat yang mempunyai minat sama akan berkumpul dan berinteraksi dan ini mampu memuafakatkan penduduk dalam suasana harmonis. Malah, melalui sukan, tanpa kira latar belakang politik, pegangan dan kepercayaan, kita dapat bersatu hati menyokong pasukan yang menjadi ‘favourite’ (kesukaan) masing-masing.

Kejohanan ini bukan setakat ini sahaja, insyaAllah, kita akan anjurkan setiap tahun bagi menggalakkan masyarakat bersukan demi melahirkan generasi yang sihat dan cerdas,” ujarnya pada penganjuran Kejohanan Badminton Muafakat Balik Pulau 2012 di sini baru-baru ini.

Kejohanan tersebut telah dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain bersama Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff. Sebanyak 32 beregu telah menyertai kejohanan yang julung kali diadakan itu.

Pasukan beregu Sungai Rusa yang muncul johan telah membawa pulang wang tunai RM500, manakala bagi naib johan (Kelab COMPA Badminton), RM300 dan tempat ketiga (Balik Pulau ‘A’), RM200. 

BEREGU yang mengungguli Kejohanan Badminton Muafakat Balik Pulau 2012 bergambar kenang-kenangan bersama Yusmadi Yusoff (lima dari kiri) dan Halil Sabri Hamid (kanan sekali).
BEREGU yang mengungguli Kejohanan Badminton Muafakat Balik Pulau 2012 bergambar kenang-kenangan bersama Yusmadi Yusoff (lima dari kiri) dan Halil Sabri Hamid (kanan sekali).