GEORGE TOWN – Bertemakan ‘We Want You’ (Kami Mahukan Anda), Penang Youth Development Corporation (PYDC) hari ini melancarkan portal carian kerjaya serta padanan majikan-pekerja, pydc.com.my.
Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa inisiatif itu memang ditunggu-tunggu memandangkan pandemik COVID-19 telah mengakibatkan begitu ramai anak muda hilang pendapatan tetap.
“Memang ada laporan mengenai sektor-sektor (perniagaan) yang terkesan, pekerja-pekerja mungkin hilang peluang pekerjaan.
“Ini kerana, syarikat perlu mengambil tindakan untuk mengurangkan kos dengan mengurangkan jumlah pekerja dan sebagainya ekoran daripada suasana ekonomi yang terkesan.
“Maka, platform ini boleh menjadi saluran untuk mendapatkan pekerjaan baru,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong ketika merasmikan acara pelancaran portal carian kerjaya tersebut di ibu pejabat PYDC dekat sini pada 6 Jun 2020.
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal; Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling turut sertai majlis pelancaran tersebut.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UWC Berhad, Datuk Ng; Timbalan CEO Kumpulan UWC, Martin Ng; Pengarah Kolej IVC, Datuk Seri Mohd. Noor Hisham; Pengarah Urusan Easyway Solution, Harid; Pengurus Operasi Easyway Solution, K. Balasingam; Pengurus Operasi Careman Security, Redzuan Wan Teh; CEO Profesional Tools and Dies, Datuk Steve Lee; Setiausaha Eksekutif Profesional Tools and Dies, Ch’ng dan wakil Teleperformance, Gan.
Difahamkan, mereka adalah antara majikan yang berkolaborasi dengan PYDC dalam menyediakan platform carian kerjaya khusus untuk muda-mudi yang sedang mencari kerjaya sepadan.
Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei 2020 antara lain mendedahkan kadar pengangguran di Malaysia adalah di paras 3.9 peratus atau sekitar 610,000 orang pada bulan Mac 2020.
Malah, difahamkan bahawa kadar pengangguran dijangka akan meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang penganggur untuk keseluruhan tahun 2020.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALVIE CHENG
Video : LAW SUUN TING