Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang dianugerahkan gelaran Dato’

Admin
img 20240730 wa0028

GEORGE TOWN – Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Prof. Madya Dr. Mohd. Sukki Othman dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.

Beliau menerima anugerah tersebut dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dekat Dewan Sri Pinang.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Mohd. Sukki menzahirkan rasa syukur dan gembira di atas penganugerahan yang diterima.

Beliau turut menyifatkan penganugerahan yang diterima sebagai pembakar semangat untuk terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di bahunya kini.

“Paling penting adalah usaha ke arah memartabatkan syiar Islam di negeri Pulau Pinang ini,” ujarnya ketika ditemui pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan di sini sebentar tadi.

Dalam menangani pelbagai cabaran yang membelenggu umat Islam mutakhir ini, beliau menyatakan bahawa perselisihan pendapat serta pergaduhan secara terbuka merupakan situasi yang perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa agama.

“Dalam konteks kesatuan memang ada cabarannya kerana sekarang banyak berlaku pergaduhan dan pergeseran yang mana situasi ini jika dibiarkan akan menjadi barah yang sukar untuk dirawat.

“Oleh itu, paling penting pada saya adalah bagaimana untuk menyatupadukan, mempersaudarakan dan mengembalikan kasih serta mahabah terutamanya dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Selain itu, kita juga hendak memastikan semangat bersatu padu turut wujud dalam kalangan masyarakat di negeri Pulau Pinang yang multietnik,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut menasihati umat Islam di negara ini supaya sentiasa berhati-hati dalam mengemukakan pendangan terutamanya dalam aspek berkaitan agama melalui sosial media.

“Setiap orang boleh bercakap dan memberikan pandangan masing-masing tetapi peranan institusi yang berautoriti adalah amat penting sebagai medium untuk menyelesaikan masalah atau membuat keputusan mengenai kemaslahatan umat.

“Sekiranya semua perkara yang diperdebatkan perlu diputuskan mengikut pandangan netizen semata-mata, maka tidak ada keputusan tepat boleh dibuat kerana setiap orang mempunyai pandangan berbeza-beza.

“Sebab itulah pentingnya institusi berautoriti kerana setiap keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama adalah berdasarkan musyawarah atau perbincangan.

“Oleh itu, sesuatu keputusan yang dibuat itu adalah secara kolektif dan dibincangkan secara mendalam dari pelbagai aspek.

“Jika sesuatu keputusan itu dibuat hanya untuk menyedapkan hati netizen yang tidak mempunyai autoriti, maka dibimbangi masyarakat akan mudah tersasar dari jalan kebenaran,” tegas beliau.

Terdahulu, Mohd. Sukki dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menggantikan Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor yang menamatkan perkhidmatannya pada Jun lalu.

Sebelum ini, beliau yang juga anak jati Pulau Pinang pernah bertugas di Unit Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).

Difahamkan, beliau adalah lulusan Bahasa Arab dan Syariah dari Universiti Yarmouk, Jordan dan pemegang Sarjana Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Doktor Falsafah dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD.DAUD