Muhamad Amin kembangkan perniagaan kuih baulu warisan keluarga

img 20250225 wa0013

DENGAN hanya bermodalkan RM500 kira-kira 20 tahun lalu, kuih baulu di bawah jenama Baulu Bumbung Lima kini terus dikenali ramai di sekitar Pulau Pinang dek kerana rasa yang enak.

img 20250225 wa0009img 20250225 wa0007img 20250225 wa0017img 20250225 wa0005Pengusaha Baulu Bumbung Lima, MUHAMAD AMIN MOHD. BUKHARI, 29 tahun menjalankan perniagaan Baulu Bumbung Lima dekat Kepala Batas, selepas mengambil alih daripada ibunya pada tahun 2020.

Menurut Muhamad Amin, perniagaan kuih baulu tersebut dimulakan oleh arwah datuknya pada tahun 2005 secara tradisional sebelum diambil alih oleh ibunya.

“Kini, saya pula memikul tanggungjawab untuk meneruskan dan mengembangkan perniagaan ini selepas ibu saya diuji dengan masalah kesihatan,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara SUNARTI YUSOFF dan jurugambar AHMAD ADIL MUHAMAD ketika ditemui dekat kedainya baru-baru ini.

Muhamad Amin berkata, pada asalnya perniagaan Baulu Bumbung Lima hanya beroperasi sebagai perniagaan borong dengan membekalkan kuih baulu kepada pemborong dari serata negeri Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, beliau bertindak mengembangkan operasi dengan memasukkan jualan runcit untuk memberi peluang kepada penggemar Baulu Bumbung Lima mendapatkan kuih baulu yang baru di masak pada bila-bila masa.

“Sebelum ini memang kami hanya fokus kepada pemborong sahaja tetapi selepas berlaku pandemik COVID-19, kami memutuskan untuk membuka jualan secara runcit supaya lebih ramai pelanggan dapat menikmati kuil baulu kami.

“Sebenarnya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kami sudah mula buka jualan sebanyak 20 peratus kepada peruncit tetapi sekarang ditingkatkan kepada 50 peratus,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Muhamad Amin berkata bahawa produk utama yang pasarkan ialah kuih baulu tradisional, dihasilkan dengan menggunakan resipi asli yang diwarisi daripada datuknya sejak 20 tahun lalu.

“Kami masih menggunakan resipi yang sama sejak daripada arwah datuk lagi bagi mengekalkan rasa aslinya yang merupakan tarikan utama bagi produk kami.

“Namun, dari segi proses pengeluaran pula, kami telah melakukan transformasi daripada penggunaan dapur arang kepada mesin yang lebih canggih seiring dengan peningkatan permintaan dan perkembangan teknologi pada masa ini.

“Walaupun demikian, harga bagi setiap bungkusan yang mengandungi 33 biji kuih baulu masih dijual pada harga mampu milik iaitu RM9.50.

“Disebabkan permintaan yang semakin meningkat, perniagaan Baulu Bumbung Lima kini mengeluarkan sehingga 16,500 biji kuih baulu sehari, dengan kesemuanya habis dijual dalam tempoh masa sehari,” katanya.

Bukan hanya perisa asli, Muhamad Amin berkata Baulu Bumbung Lima turut menawarkan kuih baulu berperisa pandan dan Red Velvet yang dipasarkan terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor.

Selain kuih baulu, Muhamad Amin juga telah mempelbagaikan lagi produk perniagaan dengan menghasilkan makanan tradisional lain seperti kuih putu kacang, dodol, kuih loyang, dan peneram.

Di samping mengembangkan perniagaan sedia ada, Muhamad Amin berkata beliau turut menyokong usahawan tempatan dengan menjual lebih 200 jenis produk keluaran mereka.

Selain Pulau Pinang, pada masa ini produk Baulu Bumbung Lima turut dipasarkan ke hampir semua negeri di semenanjung tanah air, kecuali Sabah dan Sarwak.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Muhamad Amin berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan memanfaatkan platform dalam talian bagi mencapai pelanggan yang lebih luas.

Pada masa sama, beliau turut menzairkan pernghargaan kepada beberapa institusi kerajaan yang memberikan sokongan dan bantuan dalam membantu mengembangkan lagi perniagaan Baulu Bumbung Lima.

“Antara agensi terlibat ialah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Nasional (Tekun Nasional), Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

“Semua agensi telah menyediakan pinjaman serta bantuan peralatan perniagaan yang penting bagi membolehkan perniagaan Baulu Bumbung Lima mengekalkan dan mengembangkan operasi,” ujarnya menutup bicara.