Muhammad Arif Afifuddin, sembilan atlet terima RM89,300 SKIMAS

KETUA Menteri (tengah) merakamkan gambar dengan barisan penerima SKIMAS di Komtar pada 7 November 2023.

GEORGE TOWN – Atlet negara, Muhammad Arif Afifuddin Ab. Malik yang meraih pingat emas bagi acara Karate-Kumite lelaki bawah 84 kilogram (kg) dalam Temasya Sukan Asia Ke-19 Hangzhou 2023 dekat Republik Rakyat China menerima Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) berjumlah RM24,000 di sini sebentar tadi.

Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Azlan Alias, Muhammad Zaim Razali serta Muhammad Syahir Mohd. Rosidi yang memenangi pingat perak menerusi acara Sepak Takraw Regu Lelaki dan Regu Lelaki Berpasukan dalam temasya kejohanan sama masing-masing turut menerima SKIMAS berjumlah RM4,800, RM4,800, RM2,400 dan RM4,800.

Zainatul Husniah Zulkifli yang memenangi pingat gangsa bagi acara olahraga 4 x 100 meter (m) wanita turut menerima SKIMAS berjumlah RM1,500, manakala RM3,000 insentif kepada Ooi Tze Liang yang menenangi pingat gangsa bagi acara 3m Papan Anjal Berirama.

Atlet para berbasikal negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais yang berjaya membolot satu pingat perak dan tiga gangsa dalam Sukan Para Asia 2022 Hangzhou turut menerima SKIMAS berjumlah RM30,000.

Atlet para renang negara, Zy Kher Lee yang berjaya membawa pulang pingat gangsa bagi acara berkaitan turut menerima SKIMAS RM12,000.

KETUA Menteri

Sebelum menyampaikan replika cek SKIMAS kepada 10 penerima berkenaan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow merakamkan penghargaan atas kejayaan para atlet negeri dalam mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Semoga kejayaan yang dicipta pada kali ini dapat menjadi pembakar semangat untuk meneruskan usaha berbakti kepada negara dan bangsa,” katanya dalam majlis berkaitan di Komtar pada 7 November 2023.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya akan terus menitikberatkan aspek pembangunan modal insan secara menyeluruh meliputi sahsiah, akademik hatta sukan sendiri.

“Dalam aspek pembangunan sukan, Kerajaan Negeri juga sedang giat menambah baik dan membina baru kemudahan asas sukan seperti kompleks sukan dan gelanggang futsal, bola keranjang dan sepak takraw,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Berucap pada majlis sama sebelum itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen turut merakamkan penghargaan kepada 14 atlet negeri yang telah menyertai kontinjen negara ke dwi kejohanan tersebut pada 23 September hingga 28 Oktober lepas.

ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang yang juga Naib Presiden Persatuan Renang Amatur Pulau Pinang; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Presiden Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang, Dato’ Seri Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza; Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Negeri Pulau Pinang, Ismadi Abu Bakar; Setiausaha Persatuan Berbasikal Negeri Pulau Pinang, Munir Mohamed Ismail; dan Setiausaha Persekutuan Karate Pulau Pinang, Ho Chan Wei turut sertai majlis penyampaian cek replika SKIMAS tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : LAW SUUN TING