Muhammad Hawari punyai makanan dan dalam pakaian lengkap yang sangat bagus – Azim Afif

Admin
DI Komtar Ketua Menteri (tengah) dan dua lain pada 23 Mei 2023 bertelesidang bersama-sama Ketua Misi Ekspedisi Gunung Everest ke Gunung Everest, Azim Afif Ishak (tengah) berhubung perkembangan terbaru SAR Muhammad Hawari Hashim.

GEORGE TOWN – Ketua Misi Ekspedisi Malaysia ke Gunung Everest, Azim Afif Ishak menyatakan bahawa gunung tersebut akan mulai ‘ditutup’ pada 29 Mei ini.

Menurut beliau, pada pagi 29 Mei 2023, semua tangga dan tali untuk pendakian gunung tertinggi dunia itu akan ditanggalkan bagi musim pendakian kali ini.

“Selepas 28 Mei, ada dua opsyen sahaja iaitu pertama, menunggu musim pendakian pada tahun hadapan (2024), dengan keadaan cuaca dan keadaan yang baik barulah Gunung Everest akan dibuka semula untuk musim pendakian termasuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berkaitan.

“Opsyen kedua adalah SAR yang hanya dijalankan dari atas udara dan kedua-dua opsyen berkaitan adalah perlu memohon permit khas, dan tidak ada sherpa (malim gunung) untuk menyertai SAR di sini,” jelasnya semasa sesi telesidang bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada jam 6 petang (23 Mei 2023) di sini.

Telesidang yang diadakan secara eksklusif tersebut adalah bagi mengetahui serta mengikuti dengan lebih lanjut perkembangan SAR pendaki orang kurang upaya (OKU) pendengaran dari Pulau Pinang, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang di Kem 4 kira-kira 1.15 pagi waktu tempatan, selepas berjaya menawan Gunung Everest, Jumaat lalu.

Bersama-sama Azim Afif dalam telesidang tadi adalah Pengurus Pasukan Misi Malaysia Everest 2023 (ME23), Ayu Wanirah Naharuddin dan seorang lagi pendaki negara, Tiong Ling Yang yang turut dikenali sebagai Vincent.

Mengulas lanjut, Azim Afif memberitahu Kon Yeow bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa Muhammad Hawari yang telah sampai ke Kem 4 secara sendirian keluar mendaki ke puncak semula bagi menjejaki kelibat Awang Askandar Ampuan Yaacub (Allahyarham).

“Saya percaya (Muhammad) Hawari masih hidup.

“Saya membayangkan dalam begnya ada bekalan makanan yang cukup, dia (Muhammad Hawari) berada dalam pakaian lengkap yang sangat bagus serta boleh menahan sehingga negatif (-60) suhu darjah,” ujarnya sambil memberitahu bahawa keluarga Muhammad Hawari turut menjalankan pelbagai ikhtiar alternatif bagi menjejaki pendaki negara berkenaan.

Dalam reaksi balas, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa pentadbirannya akan terus mengikuti perkembangan SAR Muhammad Hawari yang merupakan kakitangan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) secara dekat dan dari semasa ke semasa.

“Kita akan mengikuti operasi mencari dan menyelamat secara dekat dan dari semasa ke semasa,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, Kon Yeow turut menyatakan bahawa pihaknya juga akan membentangkan perkembangan lanjut mengenai ‘SAR Muhammad Hawari’ dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri untuk tindakan selanjutnya.

Di Komtar tadi, Pengarah Komunikasi Kerajaan Negeri, Yap Lee Ying yang juga Setiausaha Akhbar Kepada Ketua Menteri dan Pengarah LMNPP, Haryany Mohamad turut mengiringi sesi telesidang Ketua Menteri selama kira-kira 50 minit bersama-sama Azim Afif.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR