KUCHING – Kontinjen Pulau Pinang menambah dua lagi kutipan pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak menerusi acara tinju dan heptatlon yang berlangsung hari ini.
Pingat emas sukan tinju hadir menerusi Muhammad Rizal Wahidi selepas berjaya menewaskan pencabar dari Negeri Sembilan dalam kategori batam 54 kilogram (kg) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman.
Di Stadium Sarawak pula, Melissa En Xuan Choong mendominasi acara heptatlon wanita dan meraih pingat emas dengan mengumpul keseluruhan 4,665 mata, sekali gus mencipta rekod baru Sukma.
Selepas tidak dapat menamatkan perlumbaan akibat ditimpa kecederaan dua tahun lalu, ternyata kali ini Melissa membuat kemunculan semula dengan prestasi cemerlang dalam tujuh acara termasuk lompat tinggi dan 800 meter (m).
Bercakap kepada Buletin Mutiara, Melissa menyatakan rasa gembira kerana dapat menamatkan semua perlumbaan tujuh acara yang gagal dihabiskan semasa Sukma di Selangor dua tahun lalu.
Walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran untuk sampai ke Sukma kali ini, Melissa memberitahu bahawa dia masih kekal positif dan tidak mahu berputus asa.
“Dengan sokongan daripada ahli keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan telah memberi inspirasi kepadanya untuk mencipta lebih banyak kejayaan.
“Sebagai atlet, saya mesti yakin pada diri sendiri di samping mempunyai keazaman yang tinggi untuk berjaya dan tidak mudah berputus asa.
“Walau apa jua jenis pingat yang kita dapat sama ada perak atau gangsa, jangan anggap itu sebagai kegagalan sebaliknya jadikan ia sebagai satu proses pembelajaran,” katanya.
Melissa berkata, disebabkan sedang menyambung pelajaran di Universiti Bristol, England sejak berusia 16 tahun lagi, dia hanya boleh menjalani latihan sendiri tanpa bimbingan jurulatihnya.
“Namun begitu, saya tetap mengekalkan hubungan baik dengan jurulatih dan beliau turut membantu saya membuat persiapan untuk ke Sukma kali ini dengan meningkatkan lagi motivasi saya.
“Sukma kali ini merupakan penyertaan akhir saya dan selepas ini saya akan menjalani latihan dengan lebih gigih lagi untuk mewakili negara dan membawa kejayaan di Sukan SEA,” katanya mengakhiri bicara.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN & MSNPP