LUKISAN mural tiga dimensi (3D) ‘Ice Cream Seller’ dan ‘Hide and Seek’ yang terdapat di Taman Jajar Sungai Ara kini menjadi tarikan baharu orang ramai untuk merakam gambar menarik dan kreatif.
Lukisan hasil lakaran artis dari Can Can Public Art, Andersen Tan I-Han itu dipertontonkan kepada umum pada 6 Januari lalu selepas Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin hadir menyempurnakan perasmiannya.
Selepas hampir sebulan dirasmikan, Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual ‘orang kuat’ di Bayan Baru yang juga Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chan Soon Aun atau lebih mesra disapa dalam kalangan warga lokal sebagai ‘Cikgu Chan’.
Menurut Cikgu Chan, lukisan mural tersebut merupakan sebahagian daripada projek pengindahan kawasan dalam usaha menjadikan kawasan Sungai Ara sebagai lokasi yang berdaya huni dengan menyulam elemen seni dan budaya setempat serta mengambil kira identiti anak-anak watan di sini.
“Watak-watak dalam lukisan mural tersebut adalah watak sebenar penduduk di Sungai Ara ini.
Sebagai contoh, penjual aiskrim tersebut merupakan penjual aiskrim di Pasar Sungai Ara suatu ketika dahulu, masa saya masih muda, manakala kanak-kanak itu pula merupakan penduduk di sini.
“Projek lukisan mural ini mengambil masa antara dua hingga tiga bulan untuk menyediakan perancangan lengkap untuk mengindahkan kawasan di Linear Park (Taman Jajar) ini.
“Malah, kami (pasukan Parlimen Bayan Baru dan Can Can Public Art di bawah pengasasnya, Tan Chor Whye) juga bekerjasama membantu artis (pelukis) untuk mencari watak kanak-kanak dan penjual aiskrim untuk dilakarkan supaya penduduk berasa lebih dekat di hati,” ujarnya.
Pada asalnya, Cikgu Chan memberitahu bahawa kawasan tersebut kurang menarik dan agak kosong.
“Setelah kerja-kerja menaik taraf dijalankan, longkang yang ada di sini juga diletakkan penutup untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai.
“Kini, kawasan ini menjadi tumpuan dan mendapat sambutan yang baik terutama mereka yang ingin merakam gambar-gambar yang menarik,” katanya yang turut menyatakan hasrat untuk menambah bilangan mural yang ada pada masa hadapan dalam menaikkan imej Sungai Ara.
Jelas Cikgu Chan lagi, sebelum ini, Ahli Parlimen Bayan Baru ada menyediakan peruntukan untuk menaik taraf dan mencantikkan laluan di jambatan berhampiran mural tersebut.
Ahli Parlimen (Tze Tzin) pernah mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.1 juta untuk projek pengindahan di sini yang mana ia bukan sahaja mempromosikan kawasan ini tetapi juga sebagai satu pengiktirafan kepada penduduk setempat.
“Apabila kawasan ini diindahkan dengan lukisan mural seperti ini, ia akan menjadikan kawasan ini sebagai destinasi kesenian dan budaya masyarakat lokal.
“Saya sendiri bersama-sama lapan Ahli Majlis lain turut mengadakan aktiviti kemasyarakatan membuat kuih kapit di sini sambil berlatarbelakangkan mural berkenaan dan sangat meriah,” katanya yang akan terus mempromosikan lebih banyak aktiviti melibatkan masyarakat lokal dan pembangunan setempat.
Terdahulu, Cikgu Chan memberitahu bahawa suatu sesi pemilihan mural turut diadakan bagi memberi peluang penduduk di kawasan tersebut memilih mural yang mereka kehendaki.
Katanya, seramai 286 individu mengambil bahagian dalam sesi undian yang dijalankan bermula 9 Disember lalu, yang mana 53.5 peratus memilih mural penjual aiskrim dan 39.9 peratus memilih penjual roti.
Dalam pada itu, ketika ditemui Buletin Mutiara pada 6 Januari lalu, Tze Tzin memberitahu bahawa banyak lagi perancangan yang sedang dirangka untuk menjadikan Sungai Ara sebagai salah satu lokasi tarikan pelancongan.
“Oleh itu, saya berharap segala inisiatif yang telah dijalankan di sini dijaga sebaik-baiknya dan menyemai rasa bangga serta ‘sense of belonging’ dalam kalangan penduduk di sini kerana memiliki daya tarikan tersendiri,” katanya.
Bagi anda yang belum pernah berkunjung ke Taman Jajar Sungai Ara, apa kata set masa untuk ke sana nanti.
Klik pautan untuk lokasi:
https://maps.app.goo.gl/t7ftZNGZrhoyWdPS9
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT & CAN CAN PUBLIC ART