BATU MAUNG – Hasil daripada undian yang dijalankan, rata-rata komuniti di sekitar Sungai Ara memilih penjual ais krim dan kanak-kanak bermain hide and seek sebagai lukisan mural 3D sebagai salah satu projek pengindahan kawasan berkaitan.
Perkara tersebut diumumkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin ketika melawat tapak projek mural tersebut dekat Kopitiam Kiki, Sungai Ara kelmarin.
“Sebelum ini saya juga mengilhamkan projek pengindahan dan naik taraf kawasan sekitar bernilai RM1.1 juta termasuk satu jambatan ikonik, tapak penjaja baharu dan taman awam.
“Ini merupakan salah satu usaha menjadikan kawasan Sungai Ara sebagai lokasi berdaya huni dengan memasukkan elemen seni dan budaya setempat dengan mengambil kira watak-watak di sini juga adalah anak tempatan.
“Banyak lagi rancangan yang kita sedang perhalusi dan mungkin satu hari nanti ia mampu jadi tarikan pelancong, saya juga berharap hasil seni ini tidak dirosakkan serta penduduk di sini mempunyai nilai milikan terhadap usaha tersebut,” ujar beliau kepada pemberita.
Dalam perkembangan lain, Tze Tzin mahu Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkepentingan dalam projek transit aliran ringan (LRT) akan menyediakan satu pelan khusus bagi menangani kesesakan lalu lintas di kawasan Bayan Baru.
“Saya difahamkan 60 peratus jajaran LRT akan melalui kawasan parlimen Bayan Baru.
“Justeru, saya berharap Kerajaan Negeri dan semua pihak terlibat khususnya MRT Corp. dapat mengeluarkan satu pelan komprehensif dalam menangani kesesakan yang dijangka akan bertambah serius apabila LRT beroperasi kelak.
“Komuniti juga perlu memainkan peranan dengan menyediakan pelan alternatif seperti berkongsi kenderaan, menggunakan basikal ke tempat kerja dengan jarak dekat atau e-skuter secara berhemah,” katanya lagi.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI