Muruku jenama Zamija sampai ke Uzbekistan, pasang impian buka kilang

Admin
c576394e 0b29 481b a60c 3791f51223c6 SHAHLIJA Aishah Nagoor (kanan) bersama-sama dua anaknya, Mohamed Zulhilmi Mohamed Zamri (kiri) dan Mohamad Zulhairi Mohamed Zamri (tengah) menunjukkan pek muruku jenama Zamija.

ASIMILASI budaya dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia termasuk di Pulau Pinang sebenarnya boleh dilihat dalam pelbagai jendela termasuk dalam soal mengusahakan pengeluaran makanan tradisional yang dikaitkan dengan kaum tertentu, secara komersial.

Contohnya, muruku yang sinonim dengan makanan masyarakat India di negara ini, tetapi kian digemari oleh orang-orang Melayu serta seringkali dijadikan salah satu juadah semasa musim perayaan Hari Raya Puasa atau Aidilfitri.

93cb3818 317b 4d0f 8b90 850b627252d9
SHAHLIJA Aishah Nagoor

SHAHLIJA AISHAH NAGOOR, 53, berkata beliau sejak 17 tahun lepas mengusahakan pengeluaran pek muruku kerana ada permintaan hampir sepanjang tahun terutama semasa menjelang Aidilfitri.

“Sebenarnya saya sudah menjual muruku sejak kira-kira 17 tahun lepas tetapi perniagaan muruku jenama Zamija secara rasminya didaftarkan di bawah SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) sejak tahun lepas (2023).

“Muruku jenama Zamija ini adalah gabungan nama suami saya, Mohamed Zamri dan nama saya (Shahlija),” jelasnya semasa sesi temu ramah di kedainya dekat I-Park, Jalan Rajawali 9, Bayan Lepas di sini pada 25 Oktober 2024.

Bercerita lanjut, Shahlija Aishah berkata pada mulanya beliau hanya mengikuti kelas membuat kuih anjuran pihak GiatMara Bukit Bendera.

“Muruku, memang ada permintaan terutama pada musim perayaan termasuk menjelang Hari Raya Puasa.

“Muruku jenama Zamija ini memang saya buat sendiri, daripada proses menguli tepung, menggoreng sampai kepada pek dan jual.

“Pada peringkat awal saya berniaga muruku Zamija memang secara ‘offline’ (yang mana) para pengunjung boleh membeli sama ada di kedai kami ataupun di kedai-kedai terpilih.

“Kebiasaannya saya mendapat tempahan awal bagi pelanggan-pelanggan tradisi untuk dijadikan salah satu hidangan semasa Hari Raya Puasa dan majlis-majlis rumah terbuka sempena musim perayaan.

“Di samping itu, ada juga pelanggan membuat tempahan untuk majlis resepsi atau kenduri kahwin dan sebagainya,” jelasnya sambil memberitahu bahawa pada peringkat awal pemasaran lebih menumpu pada kaedah ‘offline’ sahaja.

Shahlija Aishah berkata, muruku jenama Zamija kian mendapat sambutan apabila produk tersebut mula dipasarkan secara dalam talian juga.

“Saya bertuah kerana perniagaan muruku jenama Zamija kini kian berkembang selepas ada rakan kongsi iaitu kedua-dua anak lelaki saya, Mohamed Zulhilmi Mohamed Zamri, 30 tahun dan Mohamad Zulhairi Mohamed Zamri, 25.

“Mohamed Zulhilmi semasa masih melanjutkan pengajian peringkat diploma pentadbiran perniagaan di Segi College (dekat Padang Kota) lagi telah sepenuh masa membantu perniagaan saya, begitu juga anak kedua saya (Mohamad Zulhairi) yang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Dalaman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Masih saya ingat, macam-macam kaedah pemasaran dalam talian kami bertiga buat…apabila orang bercakap era pendigitalan pemasaran, kami mula memasarkan dengan menggunakan Facebook.

“Dari platform Facebook, kami berpindah kepada TikTok apabila ramai memperkatakan capaian media baharu itu lebih mencapah.

“Ternyata, pemasaran menggunakan TikTok memang berkesan kerana tiap-tiap hari (bekerja) kecuali Jumaat dan Sabtu, kami menerima tempahan maksimum 20 kilogram (kg) jenama Zamija.

“Hasil nasihat anak-anak, saya buat ‘live’ TikTok selama tiga hingga enam jam sehari, mempertontonkan secara langsung bagaimana muruku jenama Zamija dihasilkan dari peringkat uli tepung sampai peringkat pembungkusan.

“Rata-rata pelanggan dalam talian adalah pelanggan tradisi… muruku jenama Zamija mendapat tempat di hati para pelanggan tradisi kami kerana mereka kata produk kami sedap, ‘stok baru masak dan terus dibungkuskan’ dan bukannya stok lama,” jelasnya lagi.

2287480c 1dd1 4732 844d 89d97e895a65
MOHAMAD Zulhairi Mohamed Zamri menunjukkan antara produk ‘retort’ jenama ZuLiJa yang dipasarkan secara dalam talian ketika ini.

Walaupun telah ada produk teras iaitu muruku jenama Zamija, Shahlija Aishah berkata beliau juga turut memasarkan pek makanan ‘retort’.

“Selain belajar macam mana nak menghasilkan muruku sedap dan berkualiti, saya juga belajar teknik ‘retort’, jadi saya turut memasarkan beberapa makanan ‘retort’ juga secara dalam talian dengan jenama Juliza.

“ZuLiJa ini macam ‘produk bersaudara’ bagi muruku jenama Zamija.

“Ada macam macam pek makanan ‘retort’ jenama ZuLiJa yang turut kami pasarkan sama ada secara ‘offline’ mahupun dalam talian antaranya kari ayam, kari daging, kari ikan masin dan makan laut, ayam dan daging masak merah, kari ikan, sup ayam atau daging.

“Bagi suami isteri bekerja, makanan berasaskan ‘retort’ jenama ZuLiJa ini memang ada permintaan untuk memenuhi selera seisi keluarga di rumah,” jelasnya lagi.

Di sebalik kejayaan yang dikecapi, Shahlija Aishah berkata ia adalah kerana adanya sokongan pelbagai pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Pertama sekali, saya bersyukur kerana rakan kongsi perniagaan saya ini adalah kedua-dua anak saya sendiri, mereka yang banyak membantu kerja-kerja pembungkusan produk tiap-tiap hari mengikut pesanan pelanggan, juga melakukan kerja-kerja pemasaran secara dalam talian.

“Tidak dilupakan juga adalah sokongan yang tak berbelah bahagi para pelanggan terutamanya pelanggan tradisi kami yang bukan sahaja terdiri dalam kalangan orang Melayu malah kaum-kaum lain juga.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang telah memberi bantuan modal menerusi skim mikrokredit SPH (Skim Pinjaman Harapan) berjumlah RM5,000 pada tahun lepas, semasa kami ‘putus modal’ untuk membeli barang dan meningkatkan pengeluaran produk muruku jenama Zamija menjelang musim perayaan Hari Raya Puasa tahun lepas (2023),” jelasnya lagi.

Mengakhiri bicarawara, Shahlija Aishah berharap perniagaan muruku jenama Zamija akan semakin berkembang pada masa hadapan.

“Setakat ini, muruku jenama Zamija bukan sahaja dipasarkan ke seluruh negara, malah secara ‘hand carry’ telah sampai ke Uzbekistan dan Madinah Al-Munawwarah…pengeposan produk kami ke luar negara pun telah sampai di (Republik Rakyat) Singapura.”

“Walaupun muruku ini adalah makanan yang sinonim dengan kaum tertentu, namun saya lihat muruku jenama Zamija ini telah mendapat tempat di hati pelanggan kami yang pelbagai kaum dan juga telah sampai ke luar negara.

“Dengan adanya permintaan ini, saya dan anak-anak (sebagai rakan kongsi) memang berharap dapat meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran produk bagi memenuhi permintaan semasa pelanggan, mungkin selepas ini perlu ada sebuah kilang untuk muruku jenama Zamija ini,” jelasnya lagi.