Muruku lingkar Makcik Misah seunik usia resipinya

MURUKU lingkar sedia  untuk dihidangkan.
MURUKU lingkar sedia untuk dihidangkan.

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

TAK sanggup rasanya untuk penulis merasai muruku yang dihidangkan Makcik Misah ketika sesi wawancara bersamanya baru-baru ini.

 

Sedikit demi sedikit, secubit demi secubit, daripada adunan tepung, bentuk lingkaran, proses menggoreng dan pembungkusan, semuanya dibuat secara manual.

 

Lahir rasa kesian memerhatikan fizikal Makcik Misah atau nama sebenar, Salmiah Arshad, 70, tunduk membongkok begitu tekun menghasilkan satu demi satu muruku lingkar yang diusahakannya sejak 1972.

 

Setiap muruku lingkar yang dihasilkan adalah daripada kesungguhan dan titik peluh beliau.

 

Malah, menurut anak kedua beliau, Mohd. Anuar Hamid, 47, keadaan fizikal ibunya kini (bongkok) adalah kesan daripada perusahaan muruku yang diusahakan berpuluh-puluh tahun sebelum ini.

 

SALMIAH Arshad atau Makcik Misah.
SALMIAH Arshad atau Makcik Misah.

“Makcik orang susah, kena kerja untuk sara keluarga. Setiap hari, makcik menoreh pada waktu pagi dan malam buat muruku jual,” celah Makcik Misah apabila terdengar bisikan Mohd. Anuar kepada Buletin Mutiara.

 

Setelah berkali-kali Makcik Misah ‘memaksa’, akhirnya penulis dan jurugambar skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara terpaksa akur dengan permintaannya supaya mencuba muruku lingkar keluaran beliau.

 

Berserta teh ais yang dihidangkan, rupa bentuk muruku lingkar Makcik Misah kelihatan seperti produk jualan biasa di pasaran. Apabila dirasa, ianya jelas berbeza!

 

Rasanya berempah dan amat rapuh. Kepedasan cukup-cukup rasa, sesuai untuk golongan kanak-kanak. Satu persatu, memang tidak boleh berhenti mengunyah Muruku Lingkar Hajah Salmiah Sungai Pinang (jenama produk yang dipasarkan).

 

Bercerita dengan lebih lanjut, resipi muruku lingkar Mak Misah adalah daripada anak manakannya.

 

“Suatu hari, saya pi tengok dia buat jual, lepas tu balik cuba dan terus jadi.

 

“Bermula dari situ, setiap kali ada tetamu, saya akan hidangkan. Kadang-kadang, anak bawa ke sekolah, lepas itu mula ada orang beli,” katanya yang dikurniakan tiga cahaya mata lelaki.

 

Pada peringkat permulaan, harga jualan muruku lingkar Makcik Misah adalah RM3 bagi setiap 100 biji. Bertahun-tahun beliau mengekalkan harga jualan tersebut sehingga peruncit-peruncit memintanya menaikkan (harga) secara berpatutan mengikut pasaran kini.

Jelasnya, bahan-bahan utama yang digunakan adalah tepung beras, cabai serbuk, telur, cintan putih, bawang putih dan udang kering.

 

“Semua bahan-bahan tersebut kemudian diadun menggunakan air panas,” ujar Makcik Misa berkongsi rahsia serta petua proses pembuatan murukunya.

 

LILIN digunakan dalam proses pembungkusan.
LILIN digunakan dalam proses pembungkusan.

Selain proses adunan, penyediaan muruku juga dibuat secara tradisional yang mana bermula dengan api batang kayu kemudian ditukar kepada dapur minyak dan kini dapur gas. Malah, lilin digunakan untuk proses pembungkusan.

 

“Masa goreng muruku, minyak tidak boleh panas sangat sebab muruku akan meletup. Api kena jaga,” tambah Makcik Misah sambil menyatakan bahawa perlu banyak bersabar untuk berjaya dalam bidang perusahaan berkenaan.

 

Setiap hari, Makcik Misah yang menetap di Kampung Sungai Pinang, Balik Pulau cuba menyiapkan 800 biji muruku bagi memenuhi permintaan tempatan dari semasa ke semasa. Menjelang musim perayaan, tempahan mampu mencecah lebih daripada 40,000 biji.

 

“800 biji, kalau buat dua orang, kira-kira dua jam baru siap. Sebelum 2007, pakcik (suami) akan akan tolong lingkar dan makcik akan goreng.

 

“Tapi, sejak pakcik kena strok, harap dia (sambil menunjukkan Mohd. Anuar) dan isteri yang datang tolong. Mereka pun kerja.

 

“Memang nak berhenti, tapi kesian, orang dok datang cari. Siap pesan lagi yang Tok jangan berhenti sebab kita nak rasa muruku Tok,” ujarnya yang tidak pernah lekang dengan senyuman.

 

Daripada tiga anak Mak Misah, hanya Mohd. Anuar yang berminat dengan ‘kerja dapur’.

 

Ulas Mohd. Anuar, beliau memang minat memasak dan seronok untuk belajar dan mencuba.

 

MOHD. Anuar Hamid melingkar muruku menggunakan acuan kayu sebelum digoreng.
MOHD. Anuar Hamid melingkar muruku menggunakan acuan kayu sebelum digoreng.

“Saya mula tolong mak selepas tamat tingkatan lima. Masa saya berusia 20-an, saya boleh buat adunan tepung, uli dengan air panas, itu yang tidak tahan. Jika guna air sejuk, tepung akan jadi keras dan terputus-putus.

 

“Masa umur belasan tahun, kalau orang datang sembang dengan mak kat rumah, saya yang tengah goreng muruku akan lari sebab malu…balik-balik tengok, muruku dalam kuali telah hangit,” katanya yang merupakan kakitangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

 

“Kalau gulai dalam periuk pun tinggal,” usik Makcik Misah sambil menglingkar muruku untuk digoreng.

 

Bagi perancangan masa depan, Mohd. Anuar akan meneruskan perusahaan tersebut jika ibunya ‘pencen’ kelak.

 

“Adik dan abang tak minat. Kalau mak berhenti, mungkin saya akan sambung.

 

Nak teruskan, besarkan secara komersial,” ucapnya yang dikurniakan lima cahaya mata ringkas mengakhiri sesi temubual baru-baru ini.

 

 

INFO :

Muruku Lingkar Hajah Salmiah Sungai Pinang

Tel : 04 – 866 3844 atau 012 – 479 1341