Musim durian Balik Pulau meriah, hingga September

Admin
img 3710

MUSIM ‘Raja Buah’ Balik Pulau sudah kembali dan Pulau Pinang menerima kunjungan penggemar buah eksotik dari seantero negara.

Apatah lagi, musim ini dijangka lebih panjang sehingga bulan September nanti dengan jumlah buah yang lebih banyak.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL turut mengambil peluang mengunjungi Anjung Indah di Balik Pulau yang merupakan salah satu lokasi tumpuan penggemar buah durian acapkali tibanya musim.

img 3718
JOHAN Abu Bakar.

Penjual buah durian dari Balik Pulau, JOHAN ABU BAKAR, 40, yang mempunyai premis perniagaan di sini berkata hampir genap sebulan berniaga dan sambutan amat menggalakkan.

“Syukur alhamdulilah, tahun ini saya sebagai peniaga tempatan diberikan rezeki lebih dek tempoh musim pada kali ini lebih panjang dari tahun sebelum.

Walaupun masih lagi dikira awal musim, pengunjung tidak henti datang serbu ke Anjung Indah Balik Pulau kerana di sini tempat tumpuan utama pelancong berkunjung menikmati buah durian ‘ori’ Balik Pulau terus dari dusun.

“(Dan) di sini juga terdapat lebih tiga gerai yang menjual buah durian (serta buah-buahan yang lain) pada kadar harga pasaran yang sama serta tidak terlalu tinggi dan mahal, bagi yang datang ke sini sudah tentu harga potongan istimewa sehingga RM10 ditawarkan.

Istimewanya durian Balik Pulau ini adalah kerana keaslian rasanya yang tersendiri dan tidak boleh didapati di mana-mana pun, oleh sebab itu pengunjung yang datang bukan hanya terdiri daripada penduduk tempatan dan luar negeri, malahan juga luar negara,” ujarnya ketika Buletin Mutiara berkunjung ke premisnya, Jomi Durian Balik Pulau.

img 3714

img 3703
PENGUNJUNG mula membanjiri Anjung Indah Balik Pulau seawal pagi demi menikmati buah durian.

Tambah Johan, premisnya turut diserbu bukan sahaja sewaktu hari bekerja, malahan juga sewaktu hujung minggu dan cuti umum.

“Hasil jualan pada hari bekerja tidak kurang baik juga jika dibanding pada hujung minggu, bermula hari Jumaat pengunjung dari bahagian Utara Semenanjung akan mula membanjiri kerana telah bermula hari cuti mereka.

“Tidak ketinggalan juga sewaktu sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, seusai menyelesaikan ibadah korban, saya terus kesini (Anjung Indah Balik Pulau) untuk mula berniaga, malah sehingga jam 10 malam masih ada lagi yang mencari buah durian.

“Bagi pelancong luar, kebanyakannya dari negara Thailand, China, Korea dan Jepun, mereka lebih menggemari jenis durian bernama Black Thorn (Duri Hitam).

“Dusun di Balik Pulau turut menghasilkan pelbagai jenis durian seperti Udang Merah (Ang Hae), Musang King (Raja Kunyit), Hor Lor, Kumpo, Capri yang menjadi pilihan pengunjung setiap kali datang ke sini,” jelasnya lagi.

img 3720

img 3700
ANTARA kemudahan yang disediakan.

Di samping itu, Johan turut memaklumkan bahawa beliau sangat mementingkan keselesaan pengunjung yang datang ke premisnya.

Kebanyakan pelanggan datang berkumpulan contohnya dari kilang-kilang dan jabatan-jabatan negeri, waktu operasi juga bermula seawal jam 10 pagi sehingga 8 malam atau habis lebih awal.

“Ada juga (pelanggan) yang memilih untuk membuat tempahan awal jenis buah apa yang diingini berserta tarikh kedatangan, lebih mudah urusan saya jika begitu.

Walaupun begitu, bagi yang ingin datang terus ke sini juga tiada masalah kerana buah (durian) sentiasa ada, jika habis saya dan pekerja akan ambil semula dari dusun, sehingga suatu masa dulu ada yang sanggup beratur di belakang kereta untuk memilih buah.

“Selain itu, tempat makan juga turut disediakan, bahkan saya juga ada meminta pertolongan dari pihak terlibat untuk melapangkan kawasan hutan di belakang ini agar boleh memuatkan kerusi dan meja untuk pelanggan duduk menikmati buah durian sambil melihat pemandangan.

Kemudahan lain seperti tempat basuh tangan, minuman berais, tisu dan sarung tangan serta ruangan parkir yang luas turut disediakan,” tambahnya.

img 3716
RUANGAN parkir yang tersedia.