GEORGE TOWN – Gelombang pertama musim durian di Pulau Pinang dijangka berlangsung sehingga awal Jun ini dan diikuti gelombang kedua antara pertengahan Jun hingga Julai.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, tahun ini, musim durian di Pulau Pinang akan melalui gelombang ketiga yang dijangka bermula Ogos sehingga bulan September akan datang.
“Saya difahamkan oleh pemilik dusun durian tahun ini kita mungkin mengalami tiga gelombang penuaian durian kerana ia sudah mula gugur, menandakan musim ini berpotensi menjadi lebih panjang dengan bekalan durian yang lebih banyak,” katanya pada Majlis Pelancaran Penang Durian Season di Fort Cornwallis dekat Jalan Padang Kota Lama, semalam.
Mengulas lanjut, Hon Wai memaklumkan bahawa Pulau Pinang menghasilkan pelbagai jenis spesies durian antaranya Black Thorn (Duri Hitam), Udang Merah (Ang Hae) dan Musang King yang menjadi pilihan ramai setiap kali musim durian tiba.
“Pada masa ini, varieti 604, Ting Xiang, Xiao Hong, Khun Poh, Musang King, dan Black Thorn telah mula ‘jatuh’ dari pokok.
“Perkara yang membuatkan durian Pulau Pinang istimewa adalah ia masak secara semula jadi.
“Kita tidak menggunakan kaedah tiruan untuk memaksa buah masak bagi memastikan setiap durian yang dirasai adalah asli dengan khasiatnya.
“(Dan) di Pulau Pinang, orang ramai berpeluang untuk menikmati durian terus dari dusun,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong itu sambil merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.
ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Annuar Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan; Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Tony Goh; Pengerusi Persatuan Bajet dan Hotel Perniagaan (MyBHA), Andy Lau; Pengerusi Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP), Ch’ng Huck Theng; Pengerusi Persatuan Pelancongan Cina (MCTA), Edwin Tan dan Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong (PTGA), Clement Liang antara yang turut hadir pada majlis berkaitan.
Pada majlis sama, Hon Wai turut melancarkan risalah “All Hail the King of Fruits Penang” yang dipenuhi dengan fakta menarik dan maklumat terperinci tentang durian.
Selain itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai durian, daripada sejarah dan jenisnya sehinggalah fakta menarik tentang durian Pulau Pinang, sila layari www.mypenangdurian.com.
Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : LAW SUUN TING