Musim durian Pulau Pinang akan dicetak dalam peta pelancongan makanan : Sim Tze Tzin

Admin

SEBERANG JAYA – Informasi mengenai musim durian Malaysia terutama di Pulau Pinang akan dilengkapkan dalam risalah peta pelancongan makanan terbitan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun depan.

Timbalan Menteri kementerian berkaitan, Sim Tze Tzin berkata, pihaknya berharap inisiatif itu dapat menggalakkan lagi pengunjung tempatan dan pelancong asing ke Pulau Pinang bagi menikmati pelbagai baka durian terbaik serta terkenal, kelak.

“Kita boleh jadikan musim durian ini suatu fenomena, dan destinasi pelancongan makanan durian (terpilih).

“Semua yang nak makan durian, mesti datang ke Pulau Pinang,” jelas Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru ketika merasmikan Penang Durian Festival di perkarangan parkir Pasar Raya Mydin Jalan Baru di sini tengah hari 28 Julai 2018.

Menurut Tze Tzin, kualiti durian baka tempatan adalah lebih enak berbanding dari Indonesia, kerana ada agensi Persekutuan yang senantiasa memperbaiki baka sedia ada agar lebih enak.

Beliau dalam pada itu turut memuji inisiatif Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin kerana memuatkan acara pertandingan baka durian terbaik sempena festival kali ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : G. REVATIC