BUKIT TAMBUN – Selepas kali terakhir muncul pada tahun 2020, kini musim menangkap siput lala atau juga dikenali sebagai siput retak seribu dalam kalangan masyarakat di wilayah utara kembali lagi.
Biasanya, kehadiran siput lala merupakan musim yang amat ditunggu-tunggu dan sangat menggembirakan bagi penduduk Bukit Tambun terutamanya para nelayan kerana ketika ini mereka berpeluang menjana hasil dan menambah pendapatan masing-masing.
Namun begitu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, GOH CHOON AIK, kehadiran siput lala di perairan laut dalam negeri Pulau Pinang kali ini agak berkurangan berbanding musim-musim sebelumnya.
Susulan itu katanya, Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang mengeluarkan 16 lesen tangkapan ikan sementara kepada nelayan terlibat dan daripada jumlah itu hanya enam lesen sahaja telah diberikan kepada nelayan tulen setakat ini.
“Ini kerana lokasi yang menjadi tempat pembiakan siput lala kali ini mempunyai dasar yang agak keras dan dalam menyebabkan bot-bot nelayan yang bersiaz kecil tidak dapat digunakan untuk menangkap lala.
“Tambahan pula, sekarang berlakunya pertembungan musim yang menyebabkan keadaan ombak agak kuat dan keadaan ini mengakibatkan bot-bot kecil sukar untuk sampai ke lokasi penangkapan lala.
“Sebab itulah hanya enam sahaja lesen tangkapan ikan sementara telah diserahkan kepada nelayan tulen di sekitar Bukit Tambun dan Pulau Aman yang mana mereka ini mempunyai bot bersaiz besar dan mampu menjalankan tangkapan lala di laut dalam.
“Lesen yang diberikan adalah sehingga 4 Oktober 2023 tetapi tempoh sah akan dilanjutkan sekiranya nelayan masih mengesan kehadiran lala di perairan negeri Pulau Pinang,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di tempat pemprosesan siput lala dekat Simpang Ampat di sini baru-baru ini.
Choon Aik berkata, ketibaan musim siput lala amat dinanti-nantikan oleh penduduk Bukit Tambun kerana ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu menghasilkan pendapatan yang agak lumayan.
“Kalau kita dapat lihat kebanyakan pekerja di sini adalah terdiri daripada golongan suri rumah, pelajar dan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Daripada mereka tidak berbuat apa-apa di rumah.. meraka ambil peluang ini untuk bekerja dan menambah pendapatan.
“Selain menghasilkan pendapatan kepada penduduk, pasa musim ini juga penduduk di negeri ini dapat menikmati siput lala segar yang dibawa terus dari laut,” katanya.
Walau bagaimanapun, Choon Aik menegaskan bahawa kehadiran siput lala yang semakin berkurangan di perairan negeri Pulau Pinang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib.
“Kehadiran lala adalah berkait rapat dengan kebersihan air dan tidak dinafikan bahawa perairan kita (Pulau Pinang) agak tercemar kesan daripada sisa kilang yang tidak terawat serta sisa kumbahan najis ternakan yang telah mempengaruhi pembiakan lala.
“Justeru, saya memohon kepada Jabatan Perikanan Malaysia dan Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang agar membuat kajian lebih menyeluruh mengenai habitat hidupan ini atau meneliti keadaan air yang bagaimana paling sesuai untuk pertumbuhan lala.
“Kehadiran lala memang secara semula jadi tetapi kita ada tanggungjawab untuk memelihara ekosistem atau habitat agar siput lala akan wujud mengikut musim.
“Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang juga mungkin boleh mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk digazetkan sebagai kawasan pemeliharan siput lala,” tegasnya.
Sementara itu, salah seorang pengusaha siput lala, LOW BAK SING, 60 tahun ketika ditemui mengakui bahawa kehadiran lala di perairan negeri Pulau Pinang pada musim ini agak berkurangan berbanding musim sebelumnya.
“Sekarang kami hanya mampu menangkap siput lala sekitar 100 hingga 400 kilogram (kg) sehari berbanding tahun 2020 lalu iaitu sekitar 400 hingga 800 kg sehari.
“Ini menyebabkan saya tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah setiap hari.
“Oleh itu, buat masa ini saya hanya membekalkan siput lala yang dibawa nelayan kepada pelanggan setia sahaja dan saya elakkan untuk menerima pelanggan baru kerana takut tidak dapat memenuhi permintaan mereka,” katanya yang mula menjual siput lala sejak 30 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Bak Sing berkata berbanding siput lala yang diperolehi dari perairan Kedah dan Perlis, siput lala yang terhasil di perairan negeri Pulau Pinang mempunyai rasa yang lebih manis.
“Sebab itu permintaan siput lala dari perairan Pulau Pinang lebih tinggi kerana rasanya yang lebih sedap selain saiznya yang lebih besar,” katanya sambil menambah bahawa hasil tangkapan lala turut dipasarkan kepada pelanggan setia dari perak, Johor, Selangor dan lain-lain.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD ADIL MUHAMAD